TORONTO – Pengawal selia penerbangan Kanada bersetuju dengan perubahan reka bentuk pada pesawat Boeing 737 MAX, yang memungkinkan pesawat berkenaan akan kembali digunakan di negara ini, lapor agensi berita Sputnik.
“Pakar keselamatan penerbangan Transport Canada telah menyelesaikan kajian bebas mereka terhadap perubahan reka bentuk pesawat Boeing 737 MAX baru-baru ini yang disahkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan kini telah mengesahkan perubahan tersebut,” kata agensi pengangkutan Kanada dalam satu kenyataan semalam.
Kelulusan peraturan membolehkan cadangan modifikasi reka bentuk dibuat pada pesawat didaftarkan di Kanada.
Namun, sebelum 737 MAX dapat terbang semula, pengawal selia Kanada menetapkan Boeing harus mematuhi Arahan Kelayakan Udara di negara itu.
Ini termasuk melakukan perubahan dalam program latihan juruterbang dan melakukan pemeriksaan penyelenggaraan pesawat selepas operasinya dihentikan dalam satu jangka panjang.
Pesawat itu digantung operasinya selepas dua nahas melibatkan 737 MAX (pesawat Lion Air di Indonesia pada Oktober 2018 dan Ethiopian Airlines pada bulan Mac 2019).
Siasatan terhadap nahas itu menunjukkan berlaku masalah teknikal dalam fungsi sistem perintis pesawat, kekurangan prosedur standard keselamatan dan perlindungan oleh Boeing. – MalaysiaGazette