Home Nasional Melaka Gateaway: KAJD fail permohonan semakan kehakiman

Melaka Gateaway: KAJD fail permohonan semakan kehakiman

Replika projek Melaka Gateway di KAJ Development Sdn. Bhd., Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) akan membuat permohonan semakan penghakiman selepas penamatan konsesi tiga tahun bagi projek tambakan tanah oleh kerajaan negeri Melaka.

Ketua Eksekutif KAJD, Datuk Michelle Ong berkata, notis penamatan bertarikh 16 November lepas itu turut menuntut KAJD memulangkan pada kadar segera kepulauan yang dikhususkan untuk projek Melaka Gateaway tanpa menawarkan sebarang pampasan.

Menurut beliau, tuntutan terbabit jelas bercanggah dengan kelulusan diberikan kepada KAJD sebelum ini iaitu selepas memenuhi semua prosedur disyaratkan, termasuk bayaran penuh Cukai Tanah.

“Dalam notis berkenaan, kerajaan negeri mendakwa proses tambakan tanah tidak berjalan mengikut jadual, justeru mereka menuntut hak penuh untuk mengambil alih keseluruhan projek, dengan kos ditanggung sepenuhnya KAJD.

“Pada hakikatnya, tambakan tanah sudah disempurnakan pada satu daripada tiga pulau yang termaktub dalam perjanjian konsesi, selain kerja yang sudah pun bermula di dua pulau lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Michelle berkata, KAJD sudah membuat bayaran berjumlah lebih RM10 juta kepada kerajaan negeri untuk geran tanah Pulau 1 dan Pulau 3, manakala proses permohonan sedang berjalan bagi mendapatkan geran Pulau 2.

“Kerajaan  negeri mengeluarkan notis penamatan ini hanya bersandarkan kepada kelewatan KAJD menyiapkan proses tambakan tanah dalam tempoh tiga tahun seperti dipersetujui,” katanya lagi.

Hal sedemikian tegas Michelle, tidak seharusnya timbul kerana kelewatan itu bukan sesuatu yang disengajakan, apabila seluruh dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19.

“Permohonan semakan kehakiman ini ialah kerana tindakan dilakukan kerajaan negeri mengingkari Akta (Pendekatan Sementara) Covid-19 2020 (Akta 829), yang antara lain melarang mana-mana projek pembinaan yang tertangguh atau tergendala kerana Covid-19 ditamatkan.

“Akta ini dengan jelas menyebut bahawa penamatan tidak boleh dilakukan sehingga selepas 31 Disember 2020 atau mana-mana tarikh selepas itu, seperti diluluskan akta berkenaan,” katanya.

Beliau menegaskan, projek Melaka Gateaway dimiliki sepenuhnya oleh KAJD dan diiktiraf sebagai projek Pembangunan Ikonik Nasional oleh kerajaan Persekutuan pada 6 Mac 2014 serta sekali lagi beroleh pengiktirafan sama di bawah kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019.

“Projek ini juga dibiayai sepenuhnya oleh KAJD tanpa sebarang kos dikenakan ke atas kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.

“Kami sama sekali tidak menerima sebarang pinjaman atau jaminan dalam projek ini,” katanya.

Beberapa hari lepas, KAJD telah memfailkan saman ke atas kerajaan negeri bagi mencabar notis penamatan yang dikeluarkan ke atas mereka.

Saman berkenaan menyebut, kerajaan negeri  melanggar Akta (Pendekatan Sementara) Covid-19 2020 (Akta 829) yang antara lain menghalang penamatan mana-mana projek pembinaan yang terpaksa ditangguhkan sementara bagi mencegah penularan pandemik itu.

Akta berkenaan dengan jelas menyatakan bahawa sebarang penamatan berkaitan pembinaan tidak boleh dibuat sehingga selepas 31 Disember ini atau mana-mana tarikh  lain selepasnya, yang diluluskan akta mengikut Parlimen Malaysia.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial syarikat swasta seluas 246.4 hektar yang terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Setakat ini, sebanyak RM700 juta dibelanjakan sejak awal pembangunannya pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pada 3 Oktober lalu, kerajaan Negeri Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut projek itu bersama KAJD. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KAJD saman kerajaan negeri Melaka

Projek Melaka Gateway perlu lebih masa untuk dilaksanakan – Adly

KAJD tidak akan sesekali putus asa dengan projek Melaka Gateway