GOMBAK – 336 Brand Sdn. Bhd menyasar untuk membuka 54 cawangan kedai minuman, Coconut Shake 336 dalam tempoh dua tahun walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Farhan Alias berkata, Coconut Shake 336 yang sudah dikenali masyarakat tempatan mampu melangkah jauh dalam bidang francais.
“Kita membangunkan perniagaan Coconut Shake ini dengan penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan ia terus diangkat sebagai produk halal selain menetapi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan supaya lebih bertaraf antarabangsa.
“Ia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa dan itulah misi kami dan dengan kerjasama KPDNHEP kami yakin produk ini dapat pergi jauh dan mencecah pelanggan global, katanya pada majlis perasmian cawangan francais pertama Coconut Shake 336 di Wisma Al-Baghdadi, Bandara Baru Selayang hari ini.
Dua produk 336 Brand ialah Nasi Ayam Hainan 336 dan Mr Sushi 336.
Coconut Shake 336 menawarkan enam produk iaitu, Originak Coconut Shake, Caramek Coconut Shake, Coco Coconut Shake, Oreo Coconut Shake, Mango Coconut Shake dan Strawberry Coconut Shake pada harga bermula RM7.90.
Menurut Muhammad Farhan, pihaknya mengenalpasti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai lokasi cawangan baharu Coconut Shake 336.
Sementara itu, Muhammad Farhan berkata, pihaknya menawarkan tiga konsep francais Coconut Shake 336 iaitu kiosk di stesen minyak dan pasar raya, model outlet di lot komersial dan konsep premium kafe kepada mereka yang berminat menceburi dunia perniagaan
Bagi kiosk di stesen petrol dan gedung besar modal yang diperlukan RM50,000 ke bawah, outlet di lot komersial memerlukan modal bawah RM100,000 dan konsep premium kafe membabitkan modal antara RM150,000 hingga RM200,000.
Di majlis sama, Coconut Shake 336 menyumbangkan bantuan makanan untuk 200 asnaf sekitar Bandar Baru Selayang yang menjadi rutin syarikat itu setiap Jumaat sejak Oktober lalu. – MalaysiaGazette