KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 buah motosikal yang diletakkan di ruang pakir di Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Desa Tun Razak di sini musnah terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada kebakaran itu disebabkan punca khianat atau sebaliknya.
Tetapi insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan kesemua motosikal terbabit rentung.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 12.48 malam.
Sejurus menerima maklumat tersebut sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bandar Tun Razak dan Balai Sungai Besi bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera dilokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan 26 buah motosikal yang terbakar 100 peratus. Motosikal berada di ruang parkir flat itu,” katanya.
Tidak ada mangsa yang terlibat dalam insiden terbabit.
Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh beberapa minit dan setakat ini bomba masih lagi menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian berlaku. – MalaysiaGazette