Home SISWA Norma baharu jadi kebiasaan penuntut USIM

Norma baharu jadi kebiasaan penuntut USIM

Nur Afiqah Husna Suhaimi mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

KUALA LUMPUR – Kehidupan norma baharu yang semakin menjadi kebiasaan ini dilihat telah mendidik dan mentarbiah diri dengan menjalani kehidupan seperti sedia kala dengan suasana yang berbeza.

Dari aspek pembelajaran pula dilihat rata-rata pelajar khususnya telah membiasakan diri dengan menjalani aktiviti pembelajaran secara dalam talian melalui sokongan dari pelbagai aplikasi.

Bagi Nur Afiqah Husna Suhaimi, merupakan pelajar Tahun satu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), melihat dari sudut positif keadaan norma baharu ini menjadikan waktu mengulang kaji pelajaran
lebih fleksibel.

Anak sulung dari lima beradik ini membuat jadual mingguan dan dicetak untuk diletakkan di atas meja belajarnya. Beliau akan menggunakan aplikasi dalam Microsoft To Do untuk mengingatkan tarikh penting untuk menghantar tugasan yang
diberikan oleh pensyarah.

”Disiplin dan pengurusan masa yang sangat baik harus diamalkan supaya kita tidak keciciran dan mengalami tekanan akibat tugasan yang banyak akibat perbuatan menunda- nunda. Apabila belajar di atas talian, hanya kita sahaja yang tahu sebanyak mana tumpuan kita berikan ketika kelas sedang berjalan. Alhamdulillah hingga ke hari ini, saya masih bersemangat untuk belajar dalam suasana norma baharu kerana mempunyai rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan moral
dan kerjasama dalam menyiapkan tugasan.

”Terdapat banyak ruang dan peluang yang USIM berikan kepada pelajar untuk mengembangkan lagi bakat mereka yang sedia ada. Saya berharap USIM dapat membantu saya mengembangkan bakat sedia ada dan mungkin mencungkil lagi bakat terpendam dalam diri saya.  Saya bercita-cita bukan sahaja untuk menjadi seorang graduan perubatan USIM, tetapi saya juga ingin menjadi doktor muslimah yang dapat menyumbang bakti kepada masyarakat, agama dan negara dengan ilmu dan kemahiran- kemahiran bukan akademik yang dapat dipelajari di USIM,” ujar Afiqah.

Siti Humaira Md KasahManakala bagi Siti Humaira Md Kasah, pelajar Tahun Satu Fakulti Syariah dan Undang-undang memilih untuk menyambung pengajian Sarjana Muda di USIM kerana ingin menyambung pendidikan agama yang telah dipelajari sebelum ini.

Beliau yang bersekolah di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang ini menyimpan hasrat untuk mendalami lebih mendalam ilmu-ilmu agama di USIM.

Anak sulung dari dua beradik ini, merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) tangan dan kaki. Dari segi kekurangan ini tidak menjadikan beliau lemah, bahkan menganggap kekurangan ini merupakan anugerah Allah dan ujian kepadanya untuk
menjadi lebih kuat.

Apabila ditanya berkenaan bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan pembelajaran norma baharu ini, ia sejujurnya amat sukar baginya untuk belajar secara dalam talian.

Humaira lebih cenderung untuk belajar secara bersemuka, namun ia bukan menjadi penghalang dan beliau akan cuba untuk menyesuaikan diri dan memahami apa yang pensyarah sampaikan semasa dalam kelas dalam talian ini.

”Buat masa ini saya dapat menguruskan masa dengan baik lagi, dan cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pensyarah agar dapat menjadi insan yang mampu memajukan diri sendiri, agama, bangsa dan negara",ujar beliau.

Bulan Oktober yang lalu buat julung kalinya seramai 2800 pelajar mendaftar masuk sebagai pelajar baharu Sarjana Muda USIM sesi akademik 2020/2021 yang diadakan secara dalam talian, tanpa pendaftaran secara fizikal.

Daripada jumlah tersebut, seramai 975 pelajar lelaki dan 1825 pelajar perempuan, termasuk 28 pelajar antarabangsa.

Seramai 564 pelajar mendaftar di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, 482 di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, 422 di Fakulti

Kepimpinan dan Pengurusan, 400 di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, 368 di Fakulti Sains dan Teknologi, 365 di Fakulti Syariah dan Undang-undang, 90 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, 64 di Fakulti Kejuruteraan Alam Bina dan 45 pelajar di Fakulti Pergigian. – MalaysiaGazette