KUALA LUMPUR – Pandangan pakar sebuah universiti awam yang mahu Kementerian Kesihatan mengambil tindakan disiplin ke atas kakitangan hospital yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan hospital bersifat janggal dan tidak boleh diterima.
Presiden Kongres Kesatuan Kakitangan dan Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata pihaknya tidak bersetuju kerana pandangan tersebut menggambarkan petugas hospital merupakan antara faktor berlakunya peningkatan kes Covid-19.
Katanya, seperti yang diketahui umum berlakunya penularan kes Covid-19 yang agak membimbangkan di beberapa buah hospital di Lembah Klang mpada inggu ini.
“Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan masyarakat termasuklah petugas kesihatan yang terlibat secara langsung sebagai barisan hadapan di hospital terbabit.
“CUEPACS membantah dan tidak bersetuju cadangan tindakan disiplin oleh KKM ke atas kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP pencegahan penularan pandemik maut itu.
“Kita bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM ditekankan untuk memastikan jangkitan Covid-19 di fasiliti kesihatan dapat dielakkan tetapi cadangan untuk mengenakan tindakan disiplin adalah tidak wajar memandangkan petugas kesihatan ini sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak ini dikesan di negara ini.
“Seperti rakyat yang lain, petugas KKM ini juga tidak mahu dijangkiti atau menjangkiti orang lain dan mereka bukan sahaja dibekukan cuti sejak awal tahun lalu, bahkan mereka telah bekerja melebihi daripada 12 jam sehari, tidak dapat bertemu dengan keluarga serta bekerja dengan pelbagai kekangan semata-mata mahu memastikan keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semua pihak sewajarnya melihat punca penularan jangkitan Covid-19 di hospital dalam konteks yang lebih luas dan tidak terus membuat sebarang kenyataan berbentuk hukuman kepada pihak lain tanpa mengetahui situasi sebenar.
Menurut Adnan, semua pihak sedia maklum gelombang terkini penularan Covid-19 menyaksikan banyak kes jangkitan yang tidak bergejala dan pesakit yang berkunjung ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan adakalanya tidak menunjukkan simptom jangkitan walaupun mereka sebenarnya membawa virus tersebut.
Ujarnya, faktor berkenaan sudah tentu mendedahkan petugas KKM kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi dan mutasi virus yang semakin agresif dan mudah berjangkit berbanding penularan gelombang pertama sebelum ini.
Malah kata beliau, ada pengunjung yang hadir ke hospital tidak mematuhi SOP dengan sebaiknya terutama mereka yang mempunyai gejala dan jangkitan yang diterima oleh petugas kesihatan juga kebanyakan daripada orang awam yang datang mendapatkan rawatan di hospital.
“Faktor-faktor ini tiada kena mengena dengan keengganan petugas kesihatan untuk mematuhi SOP keselamatan di hospital mereka bertugas manakala tempat kerja yang sempit di lapangan menyukarkan kakitangan kesihatan mengamalkan penjarakan sosial.
“Penggiliran kerja atau bekerja dari rumah (WFH) tidak dapat dijalankan oleh petugas kesihatan KKM kerana bilangan staf yang tidak mencukupi untuk merawat pesakit bagi kes Covid-19 dan lain-lain kes.
“Ada juga petugas kesihatan kehilangan fokus semasa bertugas disebabkan tekanan dan bebanan kerja yang sangat tinggi dan faktor ini perlu diberi pertimbangan sekiranya kita membuta tuli mempersoalkan isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas kesihatan.
“Ada juga fasiliti kesihatan yang tidak menerima peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi atau bekalan yang dihantar lewat sehingga mendedahkan petugas kesihatan ini dengan risiko jangkitan,” ujarnya.
Adnan berkata, CUEPACS berharap semua pihak tidak saling menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada organisasi tertentu sebaliknya apa yang lebih baik adalah bersama-sama menggembleng tenaga membendung penularan wabak ini tanpa alpa walaupun diberi kelonggaran dan sentiasa mengamalkan norma hidup baharu.
“CUEPACS juga berharap pemantauan melalui unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di KKM untuk menjalankan penilaian risiko di setiap fasiliti kesihatan termasuk pejabat kesihatan supaya dapat dilakukan penambahbaikan di lapangan.
“Isu jangkitan Covid-19 ini bukanlah perkara yang jarang berlaku kerana ia turut membabitkan petugas kesihatan di negara-negara luar juga.
“Apa yang penting adalah kerjasama daripada semua pihak bagi membantu petugas barisan hadapan kita ini memerangi penularan Covid-19 ini,” kata Adnan. – Malaysiagazette