Home Utama Illi Najwa dan suami digesa segera beri penjelasan kepada pihak berkuasa

Illi Najwa dan suami digesa segera beri penjelasan kepada pihak berkuasa

Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR- Illi Najwa Anuar Hussin Saddique dan suaminya, Manpreet Singh Pawar digesa untuk segera kembali ke Malaysia dan memberi penjelasan kepada pihak berkuasa berhubung isu perkahwinannya yang dikatakan tidak mengikut ajaran agama Islam.

Wanita yang berkahwin dengan kapten hoki India itu juga diminta untuk memberi penjelasan berhubung status agamanya.

Menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, sekiranya benar berlaku perkahwinan berbeza agama di antara pasangan tersebut, kaedah perundangan untuk membawa pulang pasangan berkenaan mungkin sukar kerana perkahwinan berbeza agama dibenarkan di India.

“Pelbagai persoalan timbul selepas itu sama ada wanita tersebut telah murtad atau tidak, adakah perkahwinan mereka sah atau tidak dan tindakan yang perlu di lakukan oleh pihak kerajaan.

“Pada pandangan peribadi saya hukuman bukanlah suatu pilihan yang perlu diutamakan tetapi menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya.

“Remedi perundangan untuk membawa pulang mereka secara paksa mungkin sukar dilaksanakan kerana jikapun benar perkahwinan berbeza agama berlaku, ia dilakukan di India yang membenarkan perkahwinan sedemikian.

“Kedudukan perundangan di India dalam isu ini berbeza dengan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, walaupun semua persoalan berhubung Illi dan suaminya itu masih belum terjawab namun PPMM menyeru semua pihak supaya isu tersebut tidak dipolemikkan khususnya dengan menyalahkan mana-mana pihak.

Perkara ini berlaku katanya adalah atas kehendak peribadi seseorang tanpa melibatkan pihak lain.

“Sekiranya berlaku walau seorang umat Islam yang keluar dari agama Islam, kita semua samada pemimpin negara atau negeri, peguasa agama, pimpinan NGO Islam, ibubapa ataupun Muslim di jalanan mesti muhasabah diri kenapa perkara ini berlaku dan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini berlaku lagi.

“Sudah sampai masanya kita meneliti kembali sistem pendidikan kita di sekolah dan masjid-masjid, kembali kepada budaya leluhur kita yang mementingkan agama dan adab serta memperkemaskan jati diri.

“Hal sebegini tidak patut didiamkan dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini dengan mendapatkan kepastian kepada persoalan-persoalan di atas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette