Home Pendapat Revolusi mahasiswa: Menentang fanitisme

Revolusi mahasiswa: Menentang fanitisme

Gambar hiasan

“Buta hati lantaran jahil lebih berbahaya daripada buta mata”.
Tertarik dengan ungkapan ini kerana ada benarnya juga untuk diambil pusing.

Perkakas yang paling berharga kurniaan tuhan kepada manusia adalah akal. Dengan akal
manusia mengenal, seterusnya manusia menimbulkan persoalan, kemudian manusia
mengubah, bertindak atau mencipta dan menemui titik refleksi – dalam segala urusan
keduniaannya.

Peranan inilah yang menjadikan akal sebagai garis pemisah terbesar antara manusia dengan segala ciptaan tuhan yang lain.

Peranan al-Quran mencerdikkan manusia 

Jika kita lihat kepada peranan al-quran; ianya banyak memberikan manusia peluang untuk berfikir, memerhati, menelaah, mentaakul, akhirnya mengislahkan. Ertinya, al-quran bukanlah kitab pasif yang hanya sekadar untuk dilagukan pada acara keramaian atau dikeramatkan sebagai azimat atau dilacurkan pada tempat yang salah. Tetapi al-quran itu diturunkan untuk mencerdaskan umat dan melorongkan akal kepada jalan yang akurat. Betapa al-quran itu telah menjadi sorotan kepada akal yang benar-benar berfungsi dan menghendaki kebenaran.

Acap kali Allah SWT memberikan penerangan betapa quran bukanlah sembarangan kitab bahkan penyuluh kepada sekalian umat. Antaranya dalam awal surah quran (al-Baqarah, ayat-2): “Inilah al-Kitab (quran) yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa”.

Cuma hal yang paling utama untuk memastikan al-quran itu benar-benar bermanfaat kepada insan adalah dengan akal yang sihat dan ketakwaan yang jitu. Pun begitu, hal yang dikatakan sebagai perkakas paling berharga itu (akal), meskipun setiap seorang telah dikurniakan oleh tuhan; bukanlah semuanya mampu berfungsi pada kadar yang sama disebabkan oleh faktor pilihan insaniah. Ada yang memilih untuk memenjarakan fungsi akal dan ada juga yang memanfaatkannya dengan optimum. Malanglah kepada yang mempersiakan peranan akal.

Golongan yang memenjarakan akal 

Antara penyebab wujudnya gerombolan manusia yang memenjarakan fungsi akal ialah
fanatisme atau taksub. Ketaksuban merupakan perangai yang dipilih oleh insan itu sendiri
(dengan kewajaran ciptaan sendiri) disebabkan oleh faktor tokoh, puak, aliran mazhab, bangsa atau apa sahaja tanpa memaknakan peranan akal kurniaan tuhan.

Ini tidak berakhir di situ sahaja bahkan menatijahkan banyak kesan buruk yang bersifat mega. Disebabkan fanatik; manusia mensakralkan apa yang tidak patut, berpecah-belah, bertikam lidah, dan menghunus sesama sendiri. Terkadang ada juga hal yang menjengkelkan atau dilihat dangkal pada cerapan akal yang sihat – dikira munasabah di mata orang yang berperangai sebegini. Maka pada banyak keadaan, akal manusia tidak dapat mencerna dengan baik kerana dirantai oleh perangai taksub itu sendiri. Disebabkan konsekuensi ini jugalah Allah menempelak para hambaNya agar memanfaatkan akal dengan kadar yang sepatutnya dan sesungguhnya setiap tindakan insan akan dipertanggungjawabkan pada masanya nanti. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran (surah al-Isra’,36):

“Janganlah sesekali kalian mengikuti sesuatu perkara yang kalian tidak tahu akan halnya.
Sesungguhnya perndengaran, penglihatan dan anggota kamu akan semuanya dipersoalkan oleh allah kelak”.

Perangai ini harus disempadani dan diubah sesegera mungkin.

Kata Za’ba: “perangai bergantung kepada diri sendiri”.

Mahasiswa harus menggerakkan revolusi ini

Poin-poin awal seputar fungsi akal yang sihat dan fanatisme tentunya tidak boleh
bersekedudukan. Ini kerana sikap fanatisme akan sedaya mungkin menekup segala kebenaran yang dirembes oleh akal dan yang lebih parah, menutup peluang untuk akal itu sendiri bekerja.

Tentunya ini menjadi bencana yang banyak mengherot idealisme mahasiswa yang masih suci dengan cahaya ilmu dan keazaman mudanya. Mahasiswa itu ada jenamanya dan jenama ini bukan kosong daripada pengisiannya. Mahasiswa dididik dan dibekalkan dengan ilmu yang mana bukan semua warga mendapatkannya. Adakah
ilmu tersebut hanya laku untuk digadaikan hanya di depan para kapitalis semata-mata?
Mahasiswa tentunya tidak dididik untuk berperangai bias dalam menilai sesuatu kes. Jauh sama sekali diminta oleh para academia untuk bersikap taksub buta terhadap mereka. Justeru, praktik inilah yang harus ditiupkan semula kepada lapangan masyarakat.

Para mahasiswa jangan lupa bahawa masyarakat adalah cerminan kepada keberkesanan
diaspora ilmu. Jika masyarakat kita masih tertutup mindanya dan masih gemar kepada
kebobrokan, itu semua adalah tugasan kita (mahasiswa). Tugas kita adalah untuk
menyampaikan mesej-mesej reformasi dan menggubah moral warga. Cukuplah sekadar hanya mempersia-siakan biasiswa atau danasiswa atau pinjaman pendidikan yang mana semuanya adalah hasil duit poket rakyat untuk mahasiswa mencerdikkan diri. Sedangkan mahasiswa itu sendiri, tidak pula mengembalikan manfaat kepada rakyat. Adakah ini adil kepada masyarakatkita?

Gerakan ini harus bermula daripada kita (mahasiswa). Kerana kitalah anak muda yang masih sejahtera daripada segala macam komitmen dan bebanan mental. Kita masih kukuh dengan idealisme untuk membereskan zulmat yang berlaku ditengah-tengah masyarakat. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlukan ‘seangkatan mahasiswa’ gerakkan!

Wan Muhammad Zuhir Ghazali,
Setiausaha Kebolehpasaran Mahasiswa, Kebudayaan dan Keagamaan,
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya.