Home Sukan Akademi Wira Muda tunjuk taring

Akademi Wira Muda tunjuk taring

AWM A menewaskan AWM B untuk muncul sebagai juara pada final kejohanan Piala Akademi Wira Muda Bawah 9 Tahun.

KUALA LUMPUR – Akademi Wira Muda (AWM) membuktikan pelatihnya semakin matang apabila mengungguli dua slot tempat di final kejohanan bola sepak Piala Akademi Wira Muda Bawah 9 Tahun baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama sehari itu menyaksikan AWM A menewaskan AWM B untuk muncul sebagai juara sekali gus membawa pulang piala, medal dan wang tunai.

AWM A menang dengan sepakan penalti 4-3 selepas perlawanan sepenuh masa terikat 2-2.

Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh Young Tiger dan Kangar Kids.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Aziss Zainal Abidin.

Pengasas AWM, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib berkata, pihaknya gembira dan  tidak menyangka dua pasukan akademi itu bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir.

“Kejayaan ini membuktikan hasil kerja keras jurulatih dan pemain untuk berlatih pagi dan petang yang akhirnya membuahkan hasil.

“Tidak lupa juga kepada waris dan ibu bapa yang menunjukkan komitmen tinggi dengan menghantar anak-ana berlatih bagi menghadapi persediaan kejohanan.

“Selepas ini kami akan membuat persediaan bagi kejohanan di Taiping pada 27 Disember ini di mana kehadiran AWM pastikan akan dinantikan pasukan lawan kelak,” katanya.

Kejohanan yang diadakan di di Institut Latihan Kecemerlangan Mara di Jawi dirasmikan oleh Ketua Jurulatih Sekolah Sukan Pulau Pinang, Noraffendi Taib.

Sementara itu, sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan Piala Akademi Wira Muda Bawah 9 Tahun dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara akademi bola sepak lain di Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara.

“Ia bertepatan dengan matlamat Akademi Bola Sepak Wira Muda sebagai platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili Pulau Pinang dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” kata Shaik Awish yang juga penganjur kejohanan itu.

Sementara itu, Akademi Wira Muda yang ditubuhkan pada Oktober 2018 pada awalnya hanya memiliki jumlah pelatih hanya 80 orang namun ia bertambah secara mendadak melebihi 200 orang sehingga kini.

Pelatih yang dipilih dibahagikan kepada empat peringkat umur iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 15 tahun.

Mereka yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan peralatan sukan lain terkini.

“Pemain akademi ini akan berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh jurulatih professional selain mereka didedahkan dengan klinik video bola sepak dari peringkat awal untuk menjadi pemain professional.

Akademi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sukan dan di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang turut mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman sebagai tanda prihatin dengan menyalurkan peruntukan wang tunai untuk membeli peralatan sukan. – MalaysiaGazette