Home Ekonomi FGV hantar pulang 1,084 pekerja asing tamat kontrak

FGV hantar pulang 1,084 pekerja asing tamat kontrak

FGV

KUALA LUMPUR- Seramai 1,084 orang pekerja asing telah dihantar pulang ke negara masing-masing meskipun FGV Holdings Berhad (FGV) terpaksa berdepan dengan cabaran Covid-19 dari tempoh Mac hingga Julai tahun ini.

Daripada 1,084 orang ini, seramai 661 daripadanya adalah dari Indonesia, India (295), Bangladesh (126) dan Nepal (2).

Menurutnya, ini membuktikan komitmennya untuk menghormati hak asasi manusia  semua pekerja asingnya termasuklah yang telah tamat tempoh kontrak.

Bagi pekerja migran India, kepulangan mereka telah diuruskan menerusi Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur di sepanjang tempoh berkenaan.

“Pandemik COVID-19 juga turut mendorong kelewatan dalam pembaharuan dokumen seperti permit kerja dan pasport pekerja ekoran penutupan pejabat pihak berkuasa serta kedutaan yang berkaitan.

“Ingin ditekankan sekali lagi bahawa FGV tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerja migran, malahan telah menyediakan sebanyak 32,250 peti keselamatan di semua 68 buah kompleksnya sebagai pilihan kepada pekerja migran menyimpan sendiri passport mereka dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, FGV kekal komited melaksanakan pelan tindakan dengan kerjasama Fair Labor Association (FLA).

Katanya, pelan tindakan itu telah diguna pakai pada 31 Mac 2020 ketika situasi COVID-19 semakin buruk di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pelan Tindakan FLA 2020 boleh didapati di laman sesawang FGV di www.fgvholdings.com, dengan laporan kemajuan seterusnya akan diterbitkan pada 31 Mac 2021.- MalaysiaGazette