KUALA LUMPUR – Kadar kemiskinan negara menurun sebanyak 2.0 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun 2016.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup memaklumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) mutlak adalah 5.6 peratus meliputi 405,441 isi rumah pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus meliputi 525,743 isi rumah pada tahun 2016.
“Ini menunjukkan bahawa usaha pembasmian kemiskinan oleh semua pihak berjaya mengurangkan kadar kemiskinan. Namun, masih terdapat golongan miskin dan berpendapatan rendah khususnya dari isi rumah B40 masih perlu dibantu,” katanya menjawab pertanyaan lisan Senator Dr. Nuing Jeluing di Dewan Negara, hari ini.
Arthur berkata, kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah B40.
Antaranya menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan mendapat pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar dan Program Peningkatan Pendapatan, kedua menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“Ketiga, menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pembiayaan mikro contohnya TEKUN dan program latihan keusahawanan.
“Keempat, meningkatkan sistem perlindungan sosial dengan mewujudkan satu rangka kerja sistem perlindungan sosial yang bersepadu dan komprehensif termasuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40),” ulas Arthur.
Ahli Parlimen Pensiangan itu menambah, kerajaan sedang menggubal dasar dan strategi untuk menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan tahun hadapan.
“Bagi menangani kemiskinan dan meningkatkan mekanisme penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi, kerajaan akan memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas atau bottom-up approach di kalangan pemegang taruh.
“Pendekatan ini akan dipertingkat dengan penglibatan masyarakat dan organisasi berasaskan komuniti. Pihak berkuasa juga akan diperkasa untuk mengenal pasti dan mengurangkan poket kemiskinan pada peringkat komuniti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette