KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini diberitahu kerajaan tidak berhasrat untuk memendekkan tempoh tahanan seseorang banduan dengan kesalahan kecil.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, cadangan itu difikirkan tidak wajar kerana beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia dalam menangani penularan pandemik itu.
“Kerajaan pada dasarnya tidak ada berhasrat untuk memendekkan hukuman tempoh penahanan seseorang banduan ketika pandemik Covid-19.
“Walau bagaimanapun banduan yang layak untuk pelepasan secara parol, pembebasan secara lesen dan pembebasan melalui pengampunan kerajaan negeri oleh Lembaga Pengampunan Negeri tidak dihalang dan masih boleh diberikan semasa tempoh pandemik ini,” katanya menjawab pertanyaan lisan Senator Lim Hui Ying.
Hui Ying ingin tahu adakah kerajaan bercadang nak membebaskan banduan dengan kesalahan kecil bagi menangani kesesakan dalam penjara ekoran penularan pandemik Covid-19 di beberapa penjara di negara ini.
Mengulas lanjut, Ismail menjelaskan beberapa faktor telah dikenalpasti menyumbang kepada berlakunya jangkitan Covid-19 di penjara.
Antaranya kekangan untuk mengasingkan banduan baharu kerana isu kesesakan dan kesukaran untuk mengenalpasti banduan yang dijangkiti Covid-19 tidak bergejala.
“Oleh itu bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara Malaysia telah mengambil langkah untuk menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimum di beberapa kem PLKN yang diwartakan di bawah penjara.
“Jabatan Penjara juga telah mewujudkan pusat transit di penjara untuk penempatan banduan baharu yang ditempatkan di penjara dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan kepada tarikh kemasukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Hukumkan community services ke atas banduan kesalahan kecil termasuk denda berdasarkan pendapatan masing-masing.