KUALA LUMPUR – Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi pelbagai reaksi selepas dana pencen itu membuka permohonan i-Sinar bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 semalam.
Ada yang mengeluh, teruja, kecewa dan tidak kurang yang menaruh harapan agar permohonan dibuat dapat diluluskan bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup yang mendesak akibat pandemik Covid-19.
Seorang pengawal keselamatan, Mohd Khairul Muzammil Abdullah, 34, memberitahu, beliau teruja datang ke KWSP untuk mengetahui cara-cara memohon i-Sinar.
Beliau mahu membuat permohonan untuk pengeluaran memandangkan hampir 80 peratus pendapatannya terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada awal Mac tahun ini.
“Hari ini saya datang untuk ambil penyata sahaja. Saya harap dapatlah keluarkan duit daripada Akaun 1 untuk tampung pendapatan.
“Pendapatan saya sebulan RM2,000 dengan kehidupan di KL ini mana cukup duit, rumah lagi keluarga lagi (sara keluarga),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Beliau berpuas hati dengan perkhidmatan KWSP dan menyifatkan proses permohonan i-Sinar menerusi dalam talian kini lebih mudah.
Sementara itu, seorang peniaga, Noriati Ali, 42, berkata, cara permohonan i-Sinar sama seperti program i-lestari dan hanya memenuhi syarat yang ditetapkan.
Bagi pemegang akaun yang mahu mengemas kini maklumat sahaja yang memerlukan proses tertentu untuk dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.
“Permohonan lebih mudah, lebih kurang macam mohon i-Lestari,” ujarnya yang mahu memohon i-Sinar selepas separuh pendapatannya dan suami terjejas akibat PKP.
Tambahnya: ”Harapan saya agar permohonan saya dan suami dipermudahkan”.
Seorang lagi peniaga, Aslinda Muhammad, 50, berkata, kehidupannya bukan senang sebelum Covid-19 dan apabila berlaku pandemik itu kehidupannya sekeluarga semakin mencabar.
Lebih menyukarkan apabila perniagaan kecil-kecilan yang dibuat sebelum ini terpaksa ditutup.
“Kami hanya mengharapkan duit daripada KWSP sahaja, untuk membayar rumah, makan dan sebagainya. Permohonan masih diproses, jika permohonan suami, isteri diterima, itu sudah memadai,” ujarnya.
Suaminya, Rosdi Yatiman, 49, seorang pengawal keselamatan berkata, beliau pernah mencarum 10 tahun lalu dan berhasrat untuk mengeluarkan wangnya bagi kegunaan keluarga.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ini menyebabkan pendapatan saya merudum, jadi saya cuba nasib untuk mengeluarkan wang yang ada.
“Kakitangan KWSP menyuruh saya membuat permohonan dalam talian, tetapi saya tidak ada i-Akaun jadi saya ke sini untuk membukanya,” kata Rosdi.
Manakala Mohd Adam Abdullah, 48, yang pertama kali membuat permohonan pengeluaran wang KWSP berkata, proses secara dalam talian menyukarkan beliau.
Beliau yang datang ke Ibu Pejabat KWSP berkata, dia buntu apabila dimaklumkan supaya membuat permohonan secara dalam talian.
”Orang macam saya tidak tahu mereka nak guna teknologi, jadi perlu ada kakitangan yang datang menjelaskan. Bukan sekadar memaklumkan permohonan perlu dilakukan secara dalam talian.
”KWSP perlulah menjelaskan secara terperinci, tapi mereka tidak jelaskan dengan baik kepada saya.
“Mereka beritahu kena mohon secara online, saya pun tidak tahu macam mana mahu buat permohonan, apa yang perlu ditekan sebab saya tidak sekolah tinggi,” katanya yang kehilangan pekerjaan sejak sebulan lalu dan kehidupannya semakin mendesak.
Beliau yang masih belum mendapat pekerjaan berkata, dia sangat memerlukan i-Sinar kerana wang simpanannya sudah habis dan ibunya pula perlu mendapatkan rawatan susulan selepas kakinya dipotong akibat kencing manis.
”Sebab itulah saya datang ke KWSP berharap agar permohonannya boleh dilayan tanpa menerusi atas talian. Jadi saya kekok semuanya,” luah Mohd Adam.
Dalam pada itu, Faizal Marof, 49, pula kecewa dan sedih apabila permohonanan i-Sinar ditolak.
“Saya tanya orang sekeliling, ramai yang kecewa seperti saya kerana tidak layak untuk mengeluarkan duit KWSP.
“Saya sudah mendaftar dalam talian, namun tidak lepas kerana saya masih bekerja dan mempunyai potongan.
“Gaji RM2,000 tetapi baki gaji hanya tinggal RM800 selepas ditolak.” katanya yang mahu kerajaan dan KWSP menimbang semula kebenaran pengeluaran wang KWSP kepada semua golongan yang memerlukan dan bukan berdasarkan syarat atau kriteria. – MalaysiaGazette