Home Nasional 204 pekebun musang king gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman

204 pekebun musang king gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman

Tertuduh membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.
Gambar hiasan

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terlibat dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.

Siew berkata, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan).  Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini,” katanya.

Siew berkata, mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.

Ditanya jika plaintif akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah atau membuat rayuan  kepada pentadbir tanah yang mengeluarkan notis pengosongan itu, Siew berkata pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat.

“Kita akan berbincang apakah tindakan yang efisien dan lebih baik supaya penyelesaian terbaik dapat diambil supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan.

“Bagaimanapun, saya berpendapat memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, jika kami membuat rayuan, ia adalah terhadap keputusan mahkamah hari ini berbanding merayu terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.

Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – MalaysiaGazette