Home Nasional Covid-19: Suntikan vaksin berdasarkan penilaian risiko

Covid-19: Suntikan vaksin berdasarkan penilaian risiko

Khairy Jamaluddin Abu Bakar. PIX: FAREEZ FADZIL, 23 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Keutamaan suntikan vaksin yang akan diberikan adalah berdasarkan analisis penilaian risiko, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) ketika ini juga sedang melakukan penelitian secara lebih mendalam mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak lihat kepada anda dan katakan anda seorang ahli politik jadi anda akan dapat suntikan dahulu.

“Saya lihat anda, lihat tanggungjawab anda dan kita analisis bagaimana penilaian risiko tersebut, tentang kemungkinan anda menjadi orang yang menyebarkan virus atau bagaimana anda mungkin mendapat penyakit ini atau tidak, sekiranya dijangkiti.

“Kita juga lihat adakah anda mungkin menghidap Covid-19 jika anda dijangkiti oleh SARS-coV-2 dan adakah anda mungkin menderita penyakit itu atau kemungkinan akan mati akibatnya,” katanya pada sidang media berkenaan Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 Negara di sini hari ini.

Jelas Khairy, oleh kerana itu negara mengutamakan golongan yang berusia kerana data menunjukkan mereka terdedah kepada wabak Covid-19 serta golongan yang menghidap penyakit jantung, diabetes dan juga penyakit pernafasan.

Dalam pada itu, Khairy turut mengulas mengenai varian baharu Covid-19 yang ditemui di Britain pada akhir November lalu.

“Sekarang ini mereka (Pfizer) sedang menguji atau sedang memantau keberkesanan vaksin sedia ada kepada mutasi yang baharu yang telah pun diumumkan di United Kingdom.

“Sekiranya vaksin Pfizer yang sedia ada tidak berkesan atau kurang berkesan terhadap mutasi baharu, mereka nyatakan bahawa memerlukan masa enam minggu untuk membuat sedikit perubahan kepada vaksin tersebut bagi memastikan keberkesanan itu tinggi terhadap mutasi yang baharu,” jelasnya.

Tambah Khairy lagi, kerajaan akan berhubung lebih lanjut dengan syarikat Pfizer mengenai perkara tersebut.

“Kita akan bercakap kepada Pfizer bagi pastikan jika mereka tukar vaksin mereka jadi ia akan refleks terhadap kontrak yang ditandatangani,” ujarnya. – MalaysiaGazette