Walaupun masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), ucapan tahniah harus diucapkan kepada
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diatas usahanya menubuhkan sebuah parti politik baru dalam negara kita baru-baru ini. Parti politik baru yang diberi nama Ikatan
Demokratik Malaysia (MUDA) yang dibuka untuk semua kaum dan agama ini akan menjadi tambahan kepada parti-parti politik sedia ada dalam negara kita pada ketika ini.
Apa yang menariknya, parti politik yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini merupakan sebuah parti politik pertama dalam sejarah negara kita yang bakal memberi banyak tumpuan kepada nasib golongan belia. Walaupun tumpuan parti politik baru ini banyak diberikan terhadap nasib golongan belia, parti politik baru ini juga dilihat memberi fokus
perjuangannya untuk membantu semua lapisan masyarakat dalam Malaysia tanpa mengira had usia mereka.
Ramai pihak khususnya dalam kalangan ahli-ahli politik mengeluarkan kenyataan mereka masing-masing terhadap kemunculan parti politik terbaru ini. Ada pihak yang akan
memberi sokongan dan kata-kata semangat, dan akan ada pihak yang akan mengeluarkan kata-kata ejekan serta yang akan melemahkan semangat.
Walau apa pun pandangan yang ingin dilontarkan oleh mereka terhadap kemunculan parti politik baru ini, peluang dan ruang yang secukupnya harus diberikan kepada Syed Saddiq serta golongan belia yang telah mengambil langkah berani untuk melibatkan diri mereka dengan arena politik dalam negara.
Rata-rata ramai pihak sudah muak dengan parti-parti politik sedia ada dalam negara kita pada ketika ini. Mereka bukan saja muak dengan kewujudan parti-parti politik sedia ada ini malah turut muak dengan perangai dan kerenah ahli-ahli politik sedia ada yang majoritinya terdiri daripada generasi lama. Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia hanya dihidangkan dengan pilihan parti- parti politik yang sudah lama ditubuh yang diterajui oleh golongan lama.
Golongan lama ini dilihat gagal memahami keadaan dunia moden pada ketika serta kehendak sebenar rakyat khususnya kehendak golongan belia yang inginkan
pembaharuan drastik. amai pihak sudah mula muak dengan keadaan dan drama
politik semasa yang berlaku pada ketika ini. Persoalan yang sering ditanyakan oleh ramai pihak, sampai bilakah Malaysia harus menerima kewujudan parti-parti politik dan ahli-ahli
politik yang sudah lama bertapak dalam sejarah negara kita ini?
Kemuakkan ramai pihak ini boleh menjadi faktor penentu kepada kejayaan dan kemenangan parti politik yang diasaskan oleh Syed Saddiq ini. Walaupun parti Syed
Saddiq ini akan memberi fokus kepada golongan belia, namun akibat daripada kemuakkan yang timbul terhadap parti-parti politik serta ahli-ahli politik sedia ada dalam negara kita akan memaksa semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia untuk memberi sokongan padu mereka terhadap parti politik baru ini serta terhadap Syed Saddiq
sendiri.
Oleh yang demikian, janganlah kita semua terkejut sekiranya parti politik yang baru ditubuhkan oleh Syed Saddiq ini akan menang proses pilihanraya umum kali ke –
15 (PRU15) yang akan datang serta janganlah kita terkejut juga sekiranya Syed Saddiq sendiri akan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke–9.
Janganlah juga kita terkejut sekiranya kabinet baru pasca PRU15 nanti akan
terdiri 80%, 90% ataupun sepenuhnya daripada golongan belia. Jangan lah kita terkejut juga golongan tua pasca PRU15 nanti hanya akan bertugas sebagai pegawai
pentadbir serta setiausaha kepada semua menteri belia ini.
Rakyat Malaysia perlu sedia sedia dari segi mental dan emosi mereka dari sekarang untuk menghadapi segala kemungkinan terhadap perkara ini. Tidak ada perkara yang
mustahil pada zaman ini.
Tidak semua golongan belia memiliki semangat keberanian serta berpeluang untuk menceburkan diri mereka ke dalam dunia politik tanahair kita kerana fokus yang selalunya diberikan oleh golongan belia adalah untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan melalui proses pembelajaran, mencari pekerjaan, serta mengumpul wang bagi memantapkan kedudukan kewangan mereka.
Langkah yang telah diambil oleh Syed Saddiq ini dengan penubuhan sebuah parti politik adalah satu langkah luar biasa yang jarang diambil oleh mana-mana golongan muda bukan sahaja dalam Malaysia malah diserata dunia. Tidak banyak negara dalam dunia pada ketika ini yang memberi banyak ruang dan peluang kepada golongan belia untuk
menceburkan diri ke dalam arena politik negara.
Rata–rata golongan belia hanya diberi sedikit ruang dan peluang untuk berpolitik di peringkat kampus di dalam universiti. Usaha yang diambil oleh Syed Saddiq ini dijangka akan menjadi pencetus semangat baru dalam sejarah politik negara kita dimana arena politik negara kita akan mula diceburi dan dipelopori oleh golongan muda dan belia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang- Undang
Universiti Sains Islam Malaysia