Home Nasional Lelaki didenda RM9,000 kerana zalimi kera

Lelaki didenda RM9,000 kerana zalimi kera

Kera yang terperangkap disembur dengan cat oleh seorang lelaki. Gambar fail

KUANTAN – Perbuatan seorang lelaki menembak dan menyembur cat ke arah seekor kera yang berada di dalam perangkap membawa padah apabila dia didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu, atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, ke atas Rozaman Ismail@Osman, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah menzalimi haiwan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 petang, 17 April lepas di sebuah rumah di Kempadang Utama, Astaka Village di sini dan dituduh mengikut Seksyen 86(1)(f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Rozaman yang bekerja sendiri memohon hukuman denda ringan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan dua anak.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ahmad Ikhwan Zainuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat.

“Tidak dinafikan kehadiran hidupan liar seperti kera mengganggu ketenteraman awam, namun bukan tindakan yang betul untuk OKS menzalimi haiwan tersebut yang pada masa itu sudah berada di dalam perangkap,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, OKS merupakan individu dalam klip video yang tular pada April lalu, memaparkan seorang lelaki menembak seekor kera menggunakan senapang tiruan selain menyembur cat pada  haiwan berkenaan yang termasuk ke dalam perangkap Perhilitan. – MalaysiaGazette