Home Politik Setuju sangat dengan cadangan anak beranak dinasti Lim berundur dari DAP –...

Setuju sangat dengan cadangan anak beranak dinasti Lim berundur dari DAP – Thanenthiran

KUALA LUMPUR – “Saya lebih daripada bersetuju dengan cadangan jujur Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Teng Chang Khim mengajak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng bersara dari politik.

“Malah Chang Kim sendiri telah mengumumkan persaraan beliau dalam politik bagi memberi laluan kepada generasi muda. Memang cadangan itu sungguh bernas  apatah lagi DAP selalu laungkan segala macam retorik selama ini,”

Itu kata Presiden Makkah Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran yang mengulas cadangan Chang Kim supaya Kit Siang dan Guan Eng sama-sama berundur.

Kit Siang dan Guan Eng telah mengisi separuh sejarah parti itu dari 1960 hingga sekarang dan sudah tiba masa untuk menyerah kuasa, ujarnya.

Menurut Thanenthiran, selama ini Kit Siang dan Guan Eng selalu mendesak pelbagai pemimpin politik meletak jawatan, malah  kadang kala mereka menggunakan alasan yang tidak munasabah.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk anak beranak ini dengar pula suara ahli anda sendiri, jika orang lain mungkin anda kata itu adalah permainan politik parti lawan tapi ini cadangan pemimpin kamu sendiri.

“DAP memang terkenal kerana lantang bercakap, jadi tidak salah bukan dengan kelantangan Chang Kim, jangan pula kamu cuba ambil tindakan kepadanya.

“Bayangkan kedua-dua mereka sudah menerajui DAP sejak tahun 60-an lagi, bukankah sudah tiba masa untuk beri laluan kepada yang lebih muda, janganlah hendak pegang jawatan sehingga ke akhir hayat. Cukup-cukuplah Kit Siang, Guang Eng,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Chang Kim yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor membuat kejutan apabila mengumuman persaraan beliau baru-baru ini dari dunia politik .

Malah pemimpin DAP ini juga sejak akhir-akhir ini sering meluahkan kekecewaannya terhadap prinsip serta kepimpinan partinya.

Menurut Chang Khim, disebabkan terlalu lama dengan kuasa dalam parti, banyak perkara telah menjadi ‘kebiasaan’, menyebabkan mereka mempunyai kuasa yang terlalu besar dalam parti.

Katanya, walaupun perlembagaan parti menetapkan jawatan Setiausaha Agung DAP tidak boleh dipegang orang sama melebihi tiga penggal, tetapi Setiausaha Agung semasa (Guan Eng) telah memegang jawatan itu melebihi sembilan tahun.

Dalam pada itu, kata Thanenthiran, walaupun Kit Siang banyak menulis menceritakan kepincangan kerajaan dari dulu sehingga ke hari ini, beliau tidak pernah pula menunding jari ke arah ‘salah silap’ anaknya, Guan Eng.

“Adilkah ada pemimpin seperti ini? Bila orang lain dituduh di Mahkamah dengan cepat Kit Siang bangkit bercerita malah dengan cepat jatuh hukum tapi apabila anaknya sendiri, pernah anda semua baca apa-apa kritikan?

“Yang kita tahu, anak serta menantunya tidak salah sebaliknya ada pihak berniat jahat jatuhkan mereka, pelik juga kita dengar bagaimana hanya Dinasti Lim dan keluarga mereka jadi mangsa politik.

“Ada baiknya mereka berundur, tidak perlulah pegang jawatan dalam parti macam DAP itu syarikat keluarga anda. Beri peluang kepada yang lain-lain juga, tolonglah,” katanya. -MalaysiaGazette

Kit Siang dan Guan Eng patut berundur

4 Komen

  1. Ada yang takut itu menunjukan ada kelebihan. Kalau meletup didalam itu tidak bermakna peluru dari dalam.

Comments are closed.