Home Sukan ABK pemangkin semangat pemain – Safawi

ABK pemangkin semangat pemain – Safawi

ABK 2020

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mengakui Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual sebagai pemangkin semangat buat pemain-pemain selepas mengharungi musim sukar akibat penularan pandemik COVID-19.

Pemain berusia 22 tahun itu yang turut gembira dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik tahun ini, berharap dapat mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut

“Untuk saya sendiri, memang kalau boleh saya hendak menang sekali lagi dan kalau menang, ini bermakna sudah tiga tahun berturut-turut saya meraih trofi dalam ABK (lain-lain kategori) dan itu yang membuatkan saya ingin terus berusaha untuk melakukan yang terbaik setiap tahun.

“Secara keseluruhannya, memang saya berpuas hati dengan prestasi saya dan juga pasukan sebab walaupun dengan COVID-19 menghalang kami beraksi untuk satu musim penuh, tetapi Alhamdulillah kami semua dapat harunginya bersama-sama dan saya sendiri berjaya untuk sekurang-kurangnya meledak tujuh gol peribadi pada musim ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Safawi berjaya mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut tahun lepas, selain meraih anugerah Pemain Muda Harapan 2018, Pemain Tengah Terbaik 2018, Penyerang Terbaik 2019 dan Pemain Paling Popular 2019.

Kali ini, Safawi yang berhijrah ke kelab Portimonense SC pada Oktober lepas, turut dicabar Afiq Fazail (JDT), Brendan Gan (Selangor), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (TFC), Faisal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Sementara itu, pemenang lima kali Anugerah Penjaga Gol Terbaik Khairul Fahmi Che Mat yang sekali lagi tercalon dalam kategori itu, tidak meletakkan harapan tinggi kerana persaingan yang cukup sengit kali ini.

“Alhamdulillah saya tercalon untuk tahun ini dan sebenarnya ini semua hasil kerjasama satu pasukan yang banyak membantu walaupun kita tahu perlawanan musim ini juga tidak banyak, jadi semua pemain hanya ada peluang terhad untuk menonjolkan aksi terbaik.

“Kalau ikutkan calon yang ada, semua tahu Farizal Marlias (JDT) tetap yang terbaik, tetapi saya berminat untuk melihat calon daripada Liga Premier seperti Samuel Somerville (Pulau Pinang) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur) untuk mungkin mencipta kejutan tahun ini,” katanya.

Enam lagi calon bagi kategori Penjaga Gol Terbaik adalah Iqbal Suhaimi (Kuching FA), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang) dan Suhaimi Husin (Terengganu FC II).- BERNAMA