KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong. Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan ucap selamat kepada masyarakat beragama Kristian sempena sambutan Hari Krismas esok.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar perayaan ini membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua turut bertitah agar rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan seperti kelaziman ekoran wabak Covid-19.
”Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, Seri Paduka berdua bertitah rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menasihati rakyat dalam meraikan perayaan itu supaya sentiasa berwaspada, berdisiplin menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan serta pihak berkuasa.
Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2021 sambil mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang bersama mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan kemakmuran dan perpaduan berkekalan.
Ahmad Fadil turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong yang kini berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena lawatan khas selama lima hari dan dijadual berangkat pulang ke tanah air esok.
Berdasarkan SOP ditetapkan oleh kerajaan, baginda akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik sahaja mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Baginda akan menyambut tahun baharu 2021 di Istana Negara kerana dinasihati menjalani kuarantin diri seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette