KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan ia telah mengambil semua langkah penting dalam menjangkakan beberapa unjuran yang dilakukan oleh pelbagai organisasi antarabangsa mengenai situasi pendemik COVID-19 di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini berkata, pada fasa awal pandemik, JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan jumlah kes COVID-19 pada pertengahan April akan meningkat antara 5,000 dan 8,000 secara kumulatif.
Berikutan itu katanya, pelbagai intervensi kesihatan awam dilakukan menyebabkan bilangannya lebih rendah berbanding ramalan badan tersebut dan pada hakikatnya, jumlah kes yang dilaporkan hanyalah 4,987.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel berita, Putrajaya Bracing for the Worst as Lack of Beds, Manpower Threatens COVID Battle, yang disiarkan dalam portal berita hari ini.
Dr Adham berkata baru-baru ini, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 5,000 pada Februari 2021.
“Selaras dengan itu, MAEPS 2.0 telah diwujudkan dengan kapasiti yang lebih tinggi untuk menampung peningkatan kes dengan penambahan katil sehingga 10,000,” katanya.
Menurut Dr Adham, pada masa ini keadaan di Malaysia masih terkawal sementara KKM telah mempertingkatkan dan menyediakan pelbagai intervensi kesihatan awam serta memastikan kesiapsiagaan hospital dalam menjangkakan peningkatan jumlah kes seperti yang diramalkan IHME.
Setakat semalam katanya, terdapat 25,456 katil secara keseluruhan bagi kes COVID-19 di hospital dan PKRC, dengan kadar penggunaan sebanyak 43 peratus manakala terdapat 871 katil di unit rawatan rapi (ICU) dengan penggunaan semasa 159 katil (18 peratus) bagi pesakit COVID-19. – MalaysiaGazette