Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata. pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding aliran trafik pada hari-hari biasa.
Beliau berkata, sungguhpun begitu, aliran trafik ketika ini terkawal kerana dipercayai keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung tidak begitu ketara seperti musim-musim perayaan sebelum ini.
Saya menasihatkan orang ramai agar tidak leka bahawa perjuangan menentang pandemik COVID-19 masih belum lagi berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan masih dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.
Azisman menyarankan agar orang ramai duduk di rumah dan tidak keluar rumah sekiranya tiada sebarang urusan rasmi walaupun rentas negeri dan daerah dibenarkan.
Hari ini, tinjauan Bernama mendapati dua lebuh raya utama iaitu di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta mengalami peningkatan dari segi jumlah kenderaan yang dipercayai menghala ke utara dan timur untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan Hari Natal.
Peningkatan lalu lintas itu dilihat sekitar 4 petang tadi berikutan orang ramai mula pulang dari bekerja dan dalam perjalanan untuk keluar dari ibu negara untuk ke destinasi yang dituju. – MalaysiaGazette