Home Seni Hidup Program amal IRAMA bantu Bob Lokman bersama artis Johor

Program amal IRAMA bantu Bob Lokman bersama artis Johor

Program amal IRAMA bersama artis Johor membantu Bob Lokman.

KUALA LUMPUR – Semakin ramai rakan-rakan artis dan penggiat seni ingin turut serta menjayakan program amal membantu penulis lirik, Bob Lokman.

Kali ini program akan diadakan di Johor bertempat di Warisan@7cafe Johor Bharu pada 26 Disember ini.

Turut turun adalah konti radio online BapakkuFM yang diketuai oleh DJ Isma Halil.

Sesi temubual dan persembahan santai artis di konti bergerak akan bermula jam 9 malam dan orang ramai boleh menghulurkan sumbangan sambil menjamu selera dan menonton acara berkenaan, kata Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd. Majid dalam satu kenyataan semalam.

“Kami amat terharu atas kesudian artis dan penggiat seni yang sanggup tanpa memikirkan sebarang token namun bersetuju hadir bagi melunaskan tanggungjawab sosial bagi membantu rakan yang sedang dilanda musibah,” katanya.

IRAMA merupakan penganjur program berkenaan selain BapakkuFM.

“Ada juga artis lagenda seperti Jatt BDB, Ameng Spring, Rahmad Mega, Emma Rockers, Bandi Amuk, Malek Zabarjad yang hadiri kerana mereka amat mengenali Bob Lokman dan sanggup menyatakan komitmen bersama kami,” ujar Ayob.

Bukan itu sahaja, katanya, artis-artis baharu yang tidak mengenali Bob secara peribadi juga bersedia bekerjasama dalam program amal berkenaan.

Beliau terharu atas keprihatinan semua pihak membantu IRAMA menganjurkan program amal ini sejak dari 4 Disember lalu.

Bob sebelum itu menghadapi komplikasi jantung dan memerlukan bantuan kewangan untuk proses rawatan di hospital.

Selain itu, kata Ayob, bekas wartawan Melodi TV3, Sdr. Nas Ahmad dan jaguh bina badan, Sazali Samad juga menyatakan komitmen untuk hadir.

Turut membantu sebagai rakan media adalah stesen radio swasta, BestFM.- MalaysiaGazette