PARIS – Thomas Tuchel dipecat oleh Paris Saint Germain dan Mauricio Pochettino dikatakan menjadi calon hangat yang bakal menggantikan tempatnya.
Media Perancis mendedahkan satu pertemuan rasmi bakal berlangsung antara presiden kelab itu dengan bekas pengurus Tottenham Hotspur itu hari ini.
Pochettino didakwa sudah membincangkan dengan PSG untuk menggantikan Tuchel yang telah dipecat pada malam Rabu sejam selepas membantu PSG menang 4-0 ke atas Racing Strasbourg.
Sky Germany mendakwa Pengarah Sukan PSG Leonardo memecat pengurus berusia 47 tahun itu selepas kemenangan kelab di Parc de Princes semalam.
Empat bulan lalu iaitu pada Ogos 2020, PSG tumbang di aksi final Liga Juara-Juara Eropah kepada Bayern Munich.
Pochettino yang kini tidak terikat dengan mana-mana kelab kini dalam proses untuk kembali ke kelab yang pernah beraksi sebagai pemain suatu ketika dahulu.
Pochettino sebelum ini dikaitkan kuat dengan jawatan pengurus kelab-kelab elit Eropah iaitu Barcelona, Real Madrid dan Manchester United.
Namun dia penuh sabar menantikan peluang keemasan dari kelab elit yang sesuai sebelum menerima pujukan PSG untuk bersamanya.
“Saya sentiasa ingatkan bahawa satu hari nanti akan berpeluang mengemudi kelab besar seperti Paris (PSG), dan itu impian selama ini.
“Saya cuma menonton setiap perlawanan khususnya Liga Juara-Juara Eropah dan kadang-kadang saya bercakap dengan penolong jurulatihnya Jean Louis Gasset,” katanya.
PSG musim ini gagal mendominasi carta Ligue 1 seperti musim-musim lalu tetapi Tuchel berjaya memastikan PSG muncul juara kumpulan H Liga Juara-Juara Eropah yang membabitkan Manchester United dan RB Leipzig.
Bagaimanapun aksi liga menentang Strasbourg pada Rabu diramal menjadi perlawanan terakhir Tuchel kerana dia sudah menjangkakan khidmatnya tidak lagi diperlukan di Paris.
Tuchel sebelum ini pernah mengkritik kedudukannya di kelab umpama ahli politik. -MalaysiaGazette