Home Utama Ibu bapa berjimat-cermat untuk persiapan sekolah

Ibu bapa berjimat-cermat untuk persiapan sekolah

Gelagat seorang ibu bersama anaknya memilih beberapa jenis kasut sekolah ketika membeli-belah barangan persiapan menjelang sesi persekolahan 2019 yang bakal tiba tidak lama lagi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di salah satu pusat membeli-belah yang terletak di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Persiapan persekolahan tahun depan yang tinggal beberapa hari lagi cukup berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Dengan situasi negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan ‘poket’ isi rumah yang tidak menentu, rata-rata ibu bapa perlu berbelanja secara berhemah.

Norlianti Ghazali

Oleh itu, kata Norlianti Ghazali, 46, persiapan persekolahan untuk lapan orang anaknya hanya difokuskan kepada baranga-barang dan kelengkapan yang perlu sahaja.

Beliau yang diberhentikan kerja sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu berkata, faktor itu juga menyebabkan persiapan sekolah anak-anaknya berbeza.

“Saya senaraikan yang betul-betul perlu sahaja. Untuk memastikan kesemua keperluan anak-anaknya cukup menjelang musim persekolahan bermula tahun hadapan, kami suami isteri perlu berjimat cermat.

“Untuk mereka, kami suami isteri kena buat simpanan sejak dua hingga tiga bulan awal. Kami perlu belanja dengan berhati-hati untuk belanja rumah dan sekolah. Kalau tidak, tak bersekolah anak-anak saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Irawati Hina

Seorang jurubekam, Irawati Hina, 35, juga berkata, anak-anaknya akan memakai pakaian sekolah dan peralatan yang masih elok.

“Pendapatan saya sebulan tidak mampu untuk menampung semua perbelanjaan tiga orang anak. Mana baju yang masih muat, pakailah dulu. Yang penting saya sudah menyediakan yuran mereka untuk tahun depan,” ujarnya yang mengakui pandemik Covid-19 menyebabkannya dia perlu berjimat-cermat.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman (TAR) hari ini mendapati keadaan sunyi tidak seperti tahun-tahun lalu.

Jika tidak, setiap hujung tahun kawasan ini meriah dengan ribuan ibu bapa yang membuat persiapan membeli pakaian dan kelengkapan sekolaSeorang ibu, Sheila Bakri, 45 pula berkata, sehingga kini beliau masih belum membeli satu pun persiapan ke sekolah untuk anaknya.

Ini kerana, katanya, masih banyak kelengkapan termasuk baju dan kasut sekolah yanh masih boleh digunakan disebabkan sesi persekolahan tahun ini lebih banyak di rumah.

“Mungkin akan mula berbelanja bulan depan, bulan ini masih belum ada mood lagi, banyak boleh pakai lagi,” katanya.

Sheila Bakri

Begitu juga Esah Mat Said, 32 yang akan menunggu saat-saat akhir untuk membeli keperluan anaknya.

Lagipun, katanya, banyak kedai membuat promosi dan memberi potongan harga pada saat-saat akhir, sekali gus memberi penjimatan kepada ibu bapa.

“Belum lagi mula beli barang persiapan anak-anak untuk persekolahan. Nanti hujung-hujung waktu mesti lagi banyak yang buat promosi, ambil peluang masa itulah,”kata Esah.

Untuk rekod,  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini mengumumkan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara ditetapkan pada 20 Januari 2021. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.