Home Sukan Moises Caicedo bakal jalani ujian perubatan di Old Trafford

Moises Caicedo bakal jalani ujian perubatan di Old Trafford

Keupayaan Moises mempamerkan aksi menekan lawan sehingga melaukan kesilapan selain ketangkasan membawa bola antara perkara yang menarik perhatian Ole Gunnar Solskjaer untuk mengikat pemain berusia 19 tahun itu.Getty Images

LONDON – Manchester United dikatakan telah menang dalam rebutan khidmat pemain muda prolifik Moises Caicedo yang turut menjadi sasaran Chelsea.

Laporan di London menjangkakan the Red Devils mengumumkan pembelian pemuda sensasi warga Ecuador dari kelab Independiente del Valle itu pada bila-bila masa sahaja.

Malah, laporan itu juga menyebut peralihan the Red Devils untuk pemain berusia 19 tahun itu sebahagian daripada strategi baharu Old Trafford.

Laporan akhbar Ecudor Diario Expreso pula berkata, ujian perubatan kecergasan sedang dalam proses untuk diselesaikan.

Pemain itu bakal menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Theatre of Dreams itu dengan klausa yuran berjumlah £4.5 juta.

Bagaimanapun, keupayaan pemain itu memohon permit kerja untuk bermain di England dilihat sebagai kekangan disebabkan faktor usia dan penampilan di Amerika Selatan.

Moises tanpa rahsia meluahkan minat untuk menyertai Manchester United sekiranya berpeluang ke EPL England.

“Impian saya adalah bermain untuk Red Devils, Antonio Valencia antara contoh pemain dari negara saya yang begitu komited dan menyumbang bersama kelab terbesar dunia itu.

Paul Pogba dan N’Golo Kante idola saya dan saya sentiasa belajar dari kemahiran mereka beraksi atas padang,” katanya.

Dalam aksi antarabangsa menentang Argentina yang dibarisi superstar Lionel Messi, Moises beraksi cemerlang dan mengasak Messi sebelum berjaya menjaringkan gol menyumbang pasukan Ecuador menang 4-2.

Valencia merupakan pemain pertama Ecuador yang beraksi untuk Old Trafford dan menghabiskan karier 10 tahun dengan menjulang sembilan kejuaraan liga domestik dan antarabangsa.

Valencia juga memuji pemain senegara itu sebagai berpotensi besar menyinar pada masa hadapan bersama Man United.

Wartawan sukan terkemuka Itali, Fabrizio Romano berkata United dalam rundingan terus dengan agen pemain itu untuk memuktamadkan khidmatnya.

“Man United terlibat rundingan terus dengan agen Moises dan perjanjian terma peribadi bertempoh lima tahun atas kertas tidak ada masalah dan nilai yang ditawarkan £4.5 juta.

“Situasi kini di bawah kawalan Man United sepenuhnya untuk memuktamadkan rundingan pemain itu,” katanya.

Namun Manchester United telah menerima saingan sengit dari Burnley, Newcastle United serta AC Milan yang turut memantau perkembangan pemain itu.

Bagaimanapun Man United komited dan tidak sanggup melakukan kesilapan kali ini dalam merekrut pemain berpotensi pada jendela perpindahan musim sejuk Januari 2021 nanti.-MalaysiaGazette