KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah cafe dan pub ditahan polis selepas membuat bising dan menghentak botol arak kerana tidak berpuas hati dengan pemeriksaan polis dan dikenakan kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.
Kejadian itu berlaku ketika pasukan Jenayah Polis Daerah Ampang terlibat Ops Krismas di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner ACP Mohamad Farouk Esha berkata, serbuan dilakukan sekitar 12.20 tengah malam di The Valley Cafe dan Pub di Jalan Pandan Indah.
Katanya, hasil serbuan dan pemeriksaan di premis malam itu polis mendapati sebanyak 51 orang pelanggan berhibur tanpa mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bawah Akta 342 yang ditetapkan.
“Mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang manakala enam pekerja di premis itu turut dikompaun jumlah yang sama.
“Kompaun dikeluarkan kerana tidak menjaga penjarakan sosial dan pub beroperasi lebih masa yang dibenarkan,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun dalam pemeriksaan itu jelasnya, seorang pelanggan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun ditahan polis.
“Dia mengganggu petugas kami (polis) yang sedang buat catitan bagi tujuan kompaun dengan cara membuat bising.
“Kita telah memberi amaran sebanyak tiga kali supaya mengawal diri dan tidak agresif.
“Kemudian suspek telah menghentak botol minuman dengan tujuan melakukan provokasi terhadap polis menyebabkan ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette