KUALA LUMPUR – Satu aplikasi khas untuk pekerja tempatan dan asing menyalurkan aduan mengenai penindasan atau eksploitasi pekerja bakal diperkenalkan pada awal bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia memastikan para pekerja berada dalam suasana selamat dan selesa
Katanya, aplikasi itu bukan untuk mencari majikan yang tidak menyediakan kemudahan asas penginapan yang selamat untuk pekerja asing tetapi ia akan menjadi platform menghubungkan kerajaan dengan pekerja secara terus.
“Setiap pekerja tidak kira tempatan atau asing di negara kita mereka akan berhubung terus dengan kementerian kami sekaligus mengeratkan hubungan dan komunikasi dua hala kerajaan dan pekerja menerusi aplikasi mudah alih ini.
“Sekiranya, majikan didapati tidak menyediakan kemudahan sesuai dari segi Akta 446 atau Prosedur Operasi Standard Covid-19 Kementerian Kesihatan, kita akan terus dapatkan maklumat segera daripada pekerja yang ditindas itu menerusi aplikasi ini dan akan bertindak tegas terhadap terhadap mana mana pihak majikan atau individu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menyampaikan Cek Pembiayaan pendidikan iaitu Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan Institur Pembangunan Pendidikan Maju (MiED) kepada 301 pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Jalan Sentul hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, aplikasi baharu itu akan membantu kerajaan daripada ditipu majikan seperti insiden sebuah kilang sarung tangan di kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Utara, Klang menyembunyikan pekerja asing di sebuah hotel berhampiran untuk mengelak diperiksa dan disoal pihak berkuasa.
Menurutnya, walaupun mepunyai bukti kukuh kilang itu gagal menyediakan penginapan selesa dan selamat kepada pekerjanya seperti yang dikehendaki Akta 446, tindakan tidak dapat diambil kerana pekerja dilarikan pada waktu malam sehari sebelum operasi dilaksanakan akibat kebocoran maklumat.
Tambah beliau, masalah ketirisan sebegini boleh ditangani selepas ini dengan kehadiran aplikasi baharu oleh kementeriannya pada 11 Januari ini.
“Selepas ini mereka tak boleh sembunyikan atau larikan pekerja mereka kerana dengan adanya aplikasi ini segala salahlaku majikan dalam kebajikan penginapan pekerja akan diterima terus dari pekerja yang terkesan, saya hanya mahu mendidik majikan,” katanya sambil menambah maklumat pekerja akan dirahsiakan.
Saravanan berkata, aplikasi itu akan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Hindi, Urdu, Nepal dan Tamil. – MalaysiaGazette