GAZA, Palestin – Pesawat-pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, menurut sumber tempatan, awal pagi ini.
Sumber-sumber di Gaza berkata, serangan udara itu menyasarkan kem pelarian al-Bureij di tengah Gaza dan wilayah Deir al-Balah.
Sebuah hospital kanak-kanak, sebuah kawasan kediaman dan sebuah pusat pemulihan untuk orang berlainan keupayaan (OKU) di kejiranan Al-Tuffah, timur Gaza musnah dalam serangan itu, kata saksi dalam temubual dengan agensi berita, Anadolu.
Tentera Israel menerusi akaun Twitter berkata, serangannya mengenai sasaran Hamas termasuk tapak pembuatan roket, infrastruktur bawah tanah dan sebuah pos kawalan tentera.
Serangan dilakukan selepas Israel menyatakan pada Jumaat lalu bahawa dua buah roket telah dilancarkan dari Gaza namun dipintas oleh sistem pertahanan ‘Iron Dome’.
Pihak berkuasa Gaza masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai serangan udara itu. – MalaysiaGazette