MONTREAL – Sebuah pesawat Boeing, B737 MAX milik Air Canada yang menuju ke Montreal, Kanada dilencongkan ke Arizona awal minggu ini berikutan isu enjin, kata syarikat penerbangan itu.
Juruterbang Air Canada, penerbangan 2358 menerima amaran mengenai enjin sebaik sahaja berlepas dari Marana, Arizona pada Selasa lalu.
Syarikat penerbangan itu menghantar B737 MAX miliknya ke Marana selepas operasi pesawat tersebut digantung di seluruh dunia pada Mac 2019 berikutan dua kemalangan yang mengorbankan nyawa.
‘Sebagai sebahagian daripada prosedur operasi normal dalam situasi sebegini, keputusan diambil untuk mematikan salah satu enjin’ dan melencong ke Tucson, kata Air Canada.
Pesawat dengan tiga anak kapal itu tidak membawa penumpang. Pesawat tersebut masih berada di Tucson.
Boeing enggan mengulas dan merujuk soalan yang dikemukakan kepada syarikat penerbangan terbabit.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah menarik balik larangan terhadap pesawat itu pada bulan lalu selepas Boeing membuat perubahan pada perisian yang membabitkan kedua-dua kemalangan tersebut dan kekhuatiran lain.
Pada minggu lalu para pegawai Kanada meluluskan perubahan rekaan pada pesawat itu. – MalaysiaGazette