KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima banyak aduan daripada orang awam mendakwa segelintir pegawai dan anggota polis tidak menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang di negara ini.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata antara kes yang didakwa tidak diambil tindakan adalah berkaitan sindiket pengedaran dadah dan perjudian.
Beliau berkata antaranya melibatkan kesalahan tidak melaporkan dan tiada tindakan diambil terhadap kes-kes jenayah yang dilapor oleh orang awam dengan mendiamkan diri serta membiarkan kawasan tadbiran mereka berleluasa dengan sindiket berkenaan.
“Sebagai contoh terdapat segelintir Ketua Polis Daerah (KPD) yang berpakat dan bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dan perjudian dengan mengambil habuan tertentu.
“Apabila ada orang awam melaporkan terdapat kegiatan sedemikian (pengedaran dadah dan perjudian), KPD yang menjaga kawasan di bawah pentadbiran masing-masing menafikan menerima aduan atau laporan daripada orang awam,” katanya kepada Bernama.
Zamri berkata isu salah laku dan masalah integriti dalam kalangan anggota dan pegawai masih berterusan walaupun banyak tindakan tatatertib telah diambil sejak 1986.
Beliau berkata habuan sindiket berkenaan dikatakan semakin meningkat mengikut peredaran zaman.
“Jika dahulu, kita hanya ada nombor ekor (tanpa lesen) dan zaman sekarang banyak perjudian dalam talian dan duit yang ditawarkan juga tinggi serta banyak pusat hiburan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota jabatan itu yang didapati terlibat dengan sindiket dadah, sama ada secara langsung mahupun tidak.
“Saya tidak boleh nafikan ada anggota polis yang terlibat penjualan ketum…kami ada terima laporan berhubung perkara ini dan anggota ini akan dituduh di mahkamah.
“…dan tindakan itu bukan sampai di situ sahaja, JIPS juga akan mengambil tindakan sehingga mereka ini boleh dibuang kerja,” katanya dalam nada tegas.- BERNAMA
Betul ke ni Datuk Zamri..?
Kenyataan “tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota” ni dah macam zikir ketika berdepan dengan pihak media tetapi masalah rasuah dan disiplin para anggota dari peringkat bawah hingga ke pegawai makin bertambah teruk..!♂️