Home Seni Hidup Better Brighter Anjung Kasih YKN: TNB sumbang RM2.9 juta sejak 2018

Better Brighter Anjung Kasih YKN: TNB sumbang RM2.9 juta sejak 2018

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kiri) menyampaikan replika cek kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) selaku pemegang amanah YKN, di Putrajaya, pada 22 Disember 2020 lalu. Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (kiri), Ketua Setiausaha KPWKM, Dato’ Dr Junaidah Kamarruddin (dua, kanan), dan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek (kanan).

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menambah dana tajaan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi menyokong projek Better Brighter Anjung Kasih YKN dengan sumbangan bernilai RM307,700

Ia dilakukan dalam satu majlis di Putrajaya dekat sini pada 22 Disember lalu.

Sumbangan disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN.

Pada majlis tersebut, Rina melahirkan penghargaan kepada TNB kerana menghulurkan sumbangan dan tajaan terhadap usaha kementeriannya membantu rakyat khususnya pesakit dan waris mereka di hospital kerajaan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah pula menyatakan kegembiraan TNB atas kesudian kementerian menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan projek kemasyarakatan yang banyak memberi manfaat ini.

TNB telah menyumbang kepada penubuhan dua Better Brighter Anjung Kasih – kemudahan penginapan sementara kepada pesakit atau waris pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan secara percuma.

Kemudahan kerjasama TNB dan YKN ini bermula di Hospital Serdang yang beroperasi sejak 2018 diikuti Hospital Melaka yang baru disiapkan dan bakal digunakan tidak lama lagi.

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Better Brighter Anjung Kasih YKN tajaan TNB di Hospital Serdang turut digunakan oleh petugas barisan hadapan hospital, yang perlu sentiasa bersiap sedia dalam menjalankan tugasan secara ad hoc di hospital.

Sehingga November lalu, sebanyak 12 Anjung Kasih YKN yang beroperasi di seluruh negara telah memberi manfaat kepada 77,640 penghuni.

Selain YKN, TNB turut menjalin kerjasama dengan Yayasan IJN bagi kemudahan serupa iaitu- Better Brighter Dormitory IJN Foundation – TNB, di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama, Amir Hamzah turut menyampaikan sumbangan TNB bernilai RM50,000 kepada Program Kembara Prihatin Negara bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program Kembara Prihatin Negara adalah inisiatif kerajaan yang dilancarkan pada 1 November lalu untuk membela nasib segelintir masyarakat yang berdepan kesulitan dalam meneruskan kehidupan.

Bagi fasa pertama program itu, TNB terlibat sama dalam sumbangan 1,000 kotak barangan keperluan asas yang diterbangkan ke Sabah dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia pada 22 Disember lalu.- MalaysiaGazette