Home Utama Covid-19: 1,196 kes baharu, Selangor masih catat kes tertinggi

Covid-19: 1,196 kes baharu, Selangor masih catat kes tertinggi

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 1,196 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,191 adalah penularan tempatan manakala baki lima kes adalah jangkitan di luar negara.

Katanya, jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini kini sudah mencecah sebanyak 105,096 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak
392 kes (32.8 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 237 kes (60.5 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 202
kes (16.9 peratus) dan Johor sebanyak 194 kes (16.2 peratus),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 52 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Pagar Siput (15 kes), Kluster Tembok Gajah (14 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), Kluster Tembok (8 kes), Kluster Hala Mutiara (1 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes).

Sehingga kini kata beliau, terdapat sebanyak 111 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya lagi, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian hari ini menajdikan jumlah yang meninggal dunia akibat wabak itu kini adalah sebanyak 452 kes. – MalaysiaGazette

+ posts