MELAKA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil perhatian serius berhubung gejala buli dalam kalangan petugas kesihatan termasuk doktor dan doktor pelatih di negara ini.
Presidennya Adnan Mat berkata satu siasatan dalaman perlu dilakukan susulan pendedahan laporan kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung isu itu, bagi memastikan ia dapat dicegah dengan lebih berkesan sekali gus menyelesaikan aduan yang timbul.
“CUEPACS memandang serius laporan kajian oleh MMA dan berpandangan budaya buli di alam pekerjaan terutama dalam bidang profesional dan kritikal seperti doktor adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Turut hadir Presiden ANULAE Datuk Azih Muda, Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Melaka dan Negeri Sembilan Kamarul Izwan Osman.
Mengulas lanjut, Adnan berkata KKM juga perlu merangka dan menyediakan satu platform yang membolehkan petugas kesihatan yang menjadi mangsa buli mengutarakan masalah mereka tanpa menjejaskan identiti serta kedudukan sekiranya membuat aduan.
“Gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa, bahkan merisikokan nyawa pesakit yang menerima rawatan daripada doktor-doktor yang menjadi mangsa buli, apatah lagi dengan persekitaran kerja doktor yang semakin mencabar, masalah buli ini sudah tentu menjadikan mangsanya lebih terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Semalam, MMA melaporkan kajiannya menunjukkan 66.9 peratus doktor di negara ini mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam, dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun, iaitu sebanyak 52.9 peratus.
Statistik itu adalah hasil kajian terbaharu yang dijalankan oleh MMA melibatkan 1,800 responden terdiri daripada doktor pelatih, pegawai perubatan dan pakar muda secara dalam talian.
Sementara itu CUEPACS dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur menyarankan KKM mengemukakan data mengenai budaya buli dalam kalangan doktor mahupun petugas kesihatan lain, termasuk jumlah kes yang diselesaikan, serta tindakan yang diambil.
“Sediakan juga kaedah atau cara kes buli ini disiasat bagi memberi keyakinan kepada warga kerja,” menurut CUPEPACS.
— BERNAMA