Home Nasional CUEPACS minta pelaksanaan pekeliling perkhidmatan baharu MBK ditangguh

CUEPACS minta pelaksanaan pekeliling perkhidmatan baharu MBK ditangguh

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja dan Perkkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah pelaksanaan pekeliling baharu mengenai Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari ini.

Presidennya Adnan Mat berkata, pihaknya mahu pelaksanaan pekeliling perkhidmatan baharu itu ditangguhkan kerana didakwa tiada perbincangan triparti dan ia akan dirujuk kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“CUEPACS dimaklumkan bahawa pelaksanaan pekeliling tersebut adalah bertujuan untuk penambahbaikan terhadap dasar hubungan majikan-pekerja dalam perkhidmatan awam melalui MBK.

“Bagaimanapun keputusan pekeliling tersebut langsung tidak berunding serta melibatkan CUEPACS selaku wakil pekerja dan tiga MBK iaitu MBK Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional (MBK P&P), MBK Pekerja-Pekerja Sains dan Teknologi Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK S&T) serta MBK Pekerja-Pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana (MBK AM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBK berperanan dalam memberi pendapat dan membincangkan prinsip-prinsip saraan, elaun, kemudahan dan syarat-syarat perkhidmatan bagi pekerja-pekerja sektor awam. Perbincangan adalah berkaitan perkara-perkara dasar perkhidmatan awam secara umum.

Selain itu, MBK juga akan membolehkan pegawai mengemukakan cadangan perubahan atau makluman mengenai perkembangan-perkembangan baharu untuk mendapat ulasan dan pandangan Pihak Pekerja sebelum dibawa untuk keputusan Kerajaan.

Menurut Adnan, tindakan JPA yang melaksanakan Pekeliling Perkhidmatan itu tanpa berunding dengan CUEPACS seolah-olah cuba menghapuskan rundingan triparti yang melibatkan wakil pekerja, JPA dan kerajaan.

Tambah beliau, situasi berkenaan memberi gambaran JPA cuba menghapuskan peranan kesatuan pekerja sehingga boleh mencetuskan suasana atau hubungan tidak harmoni antara majikan dan pekerja.

Justeru kata Adnan, pihaknya juga melihat tindakan JPA juga memberi gambaran pegawai di peringkat tertinggi kerajaan cuba mensabotaj peranan kesatuan sedangkan kerajaan sendiri sentiasa mengalu-alukan peranan kesatuan dalam memperkasakan sistem perkhidmatan awam.

Jelasnya, tindakan pegawai tertinggi dalam kerajaan yang bercanggah dengan aspirasi kerajaan itu seolah-olah cuba untuk menghapuskan sokongan kakitangan awam kepada kerajaan.

“Justeru itu, CUEPACS memohon JPA untuk menangguhkan dahlu pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan mengenai MBK ini sehingga rundingan dilakukan dengan CUEPACS dan semua ahli dalam ketiga-ketiga MBK tersebut.

“Sekiranya dahulu JPA sentiasa berunding dengan CUEPACS sebelum melaksanakan sesuatu pekeliling baharu, ia sepatutnya dipraktiskan juga dalam pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan yang baharu ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. TERBAIK PREIDEN DAN CUEPACS..>>>>pihaknya juga melihat tindakan JPA juga memberi gambaran pegawai di peringkat tertinggi kerajaan cuba mensabotaj peranan kesatuan sedangkan kerajaan sendiri sentiasa mengalu-alukan peranan kesatuan dalam memperkasakan sistem perkhidmatan awam.

    dahulu JPA sentiasa berunding dengan CUEPACS sebelum melaksanakan sesuatu pekeliling baharu, ia sepatutnya dipraktiskan juga dalam pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan yang baharu ini,

Comments are closed.