Home Sukan Impian buru emas sulung Sukan Olimpik ‘ditunda’

Impian buru emas sulung Sukan Olimpik ‘ditunda’

Petugas media mengenakan topeng muka ketika menghadiri sidang media berkenaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun pada 17 Mac 2020

KUALA LUMPUR- Krisis Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah menjejaskan pelbagai sektor termasuk industri sukan, baik di peringkat domestik mahupun di pentas antarabangsa.

Pelbagai kejohanan dan temasya sukan turut terkesan sepanjang 2020 susulan pandemik itu, sekali gus membantutkan bukan sahaja impian atlet bergelar sang juara, malah peminat sukan juga terpaksa ‘menangguhkan’ hasrat mereka bagi melihat atlet kesayangan mencapai kejayaan.

Bukan sahaja Sukan Olimpik Tokyo ditunda, malah kejohanan utama lain yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditangguhkan ke tahun depan, dan lebih menyedihkan ada temasya sukan dibatalkan.

Ironinya, hasrat jutaan rakyat Malaysia untuk melihat atlet negara merangkul pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik pada edisi 2020 di Tokyo, juga terpaksa ‘ditangguhkan’ selepas temasya sukan itu ditunda ke tahun depan susulan penularan pandemik tersebut.

Sebelum ini, tumpuan mencipta sejarah Olimpik itu tertumpu kepada jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, selepas jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei, yang menyumbangkan tiga pingat perak pada temasya Olimpik sebelum ini, mengumumkan persaraan pada tahun lepas.

Sukan Olimpik Tokyo dan diikuti Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya berlangsung pada Julai dan Ogos lepas, ditangguhkan selama setahun, ke tahun hadapan manakala Sukan Para ASEAN (APG) di Filipina, yang sepatutnya berlangsung awal tahun ini, akhirnya dibatalkan selepas beberapa kali ditangguh.

Penangguhan itu sekali gus menjejaskan momentum atlet negara dalam memburu tiket ke Tokyo 2020 apabila beberapa kejohanan kelayakan dan pemanas badan turut ditunda dan dibatal, dengan skuad badminton, terjun, renang, olahraga dan memanah merupakan antara yang terkesan.

Skuad badminton negara turut menerima tamparan hebat apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil keputusan menunda beberapa kejohanan utama tahun ini, termasuk Piala Thomas dan Uber 2020 di Denmark, yang sepatutnya berlangsung dari 3 hingga 11 Okt.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bagaimanapun sempat menganjurkan Master Malaysia pada 7-12 Jan, namun kejohanan lebih berprestij iaitu Terbuka Malaysia yang pada asalnya dijadual pada 31 Mac hingga 5 April terpaksa menjadi ‘korban’ pandemik itu.

Bagi sukan hoki, Trofi Juara-juara Asia Lelaki dan Wanita serta Piala Remaja Asia Lelaki dan Wanita turut ditangguh ke tahun depan, manakala kejohanan jemputan yang dinanti-nantikan, Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh terpaksa dibatalkan.

Tenpin boling, sukan yang berlangsung di venue tertutup, boleh dikatakan antara sukan paling terkesan dengan pandemik itu apabila bukan sahaja kejohanan di peringkat antarabangsa, Asia dan domestik tidak dapat diadakan, malah latihan juga terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Berbekalkan semangat basikal baharu bernilai RM300,000, Mohd Azizulhasni memulakan musim dengan cemerlang apabila meraih gangsa berganda di Kejohanan Dunia di Berlin, dan menutup tirai musim ini dengan kilauan pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Australia, selain aksi membanggakan pelumba negara dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi, pada Februari lepas.

Bagaimanapun, beberapa perlumbaan domestik seperti Tour of Peninsular, Le Tour de Femina dan Jelajah Malaysia terpaksa dibatalkan termasuk Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) ditunda, manakala penyertaan di jelajah antarabangsa juga terpaksa dilupakan demi keselamatan.

Di peringkat tempatan, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang diketuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan untuk membatalkan penganjuran temasya dwitahunan itu di Johor dan bakal diadakan semula pada 2022 di negeri yang sama.

Bukan itu sahaja, 2020 juga merupakan tahun yang menyedihkan buat sukan tanah air selepas beberapa bekas atlet negara meninggal dunia, selain persaraan atlet walaupun masih mampu memberi sumbangan kepada negara di pentas antarabangsa.

Atlet angkat berat Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Ata Maarof maut dalam kebakaran selain bekas atlet Olimpik dan pemain bola sepak negara V. Krishnasamy disahkan meninggal dunia akibat diabetes, diikuti bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohd Shah Alias Norbit.

Persaraan gimnas negara Amy Kwan Dict Weng telah mengejutkan peminatnya kerana atlet muda berusia 25 tahun itu pernah melakar beberapa kemenangan bermakna dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk sebutir emas, perak dan dua gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Peminat sukan negara juga dikejutkan dengan kemalangan membabitkan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Kento Momota di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), selepas muncul juara Malaysia Masters pada awal tahun ini.

Susulan penemuan vaksin Covid-19 yang telah pun mula digunakan di beberapa negara, 2021 diharapkan menjadi tahun pemulihan untuk bidang sukan negara dan antarabangsa secara berperingkat dengan Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA menjadi tumpuan utama.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai-8 Ogos, Sukan Paralimpik Tokyo pada 24 Ogos-5 Sept dan Sukan SEA 2021 di Vietnam dari 21 Nov-2 Dis.

Majulah Sukan Malaysia pada 2021!

Impian pingat emas pertama Olimpik hanya tertangguh, bukannya terbatal. – MalaysiaGazette