PADANG BESAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyalurkan bantuan sejumlah RM100,000 kepada 500 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sekitar negeri ini.
Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Huzaini Ramli berkata sumbangan tersebut merupakan agihan wakalah zakat perniagaan Nafas kepada golongan asnaf yang layak menerimanya iaitu sebanyak RM200 seorang.
“Enam PPK yang menerima bantuan ini adalah PPK Mata Ayer, PPK Padang Siding, PPK Paya, PPK Bintong, PPK Beseri dan PPK Titi Tinggi,” katanya kepada pemberita pada Program Prihatin Peladang di PPK Mata Ayer, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis Azizul Lebai Ishak.
Huzaini berkata wakalah adalah dasar pengembalian wang zakat oleh majlis-majlis agama Islam negeri kepada pengeluar zakat sebagai wakil untuk diagihkan semula kepada penerima yang layak.
Katanya program ini secara keseluruhan akan memberi manfaat kepada lebih 7,000 keluarga seluruh negara sepanjang ia dilaksanakan tahun ini.
— BERNAMA