KUALA LUMPUR – Pengumuman kedua sekatan pelancong dari United Kingdom (UK), Afrika Selatan dan Hong Kong berikutan penularan varian baharu Covid-19 iaitu A701V tidak diperlukan di negara ini.
Ini kerana sejak pintu sempadan ditutup semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, pelancong dari negara-negara luar masih dilarang masuk sehingga hari ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ramai keliru sebenarnya apabila meminta umum sekatan perjalanan dari UK. Sebenarnya, sekatan perjalan dari luar negara sudah lama dilaksanakan.
“Negara masih belum buka sempadan untuk pelancong atau rakyat mana-mana negara untuk masuk ke dalam negara kita termasuk Britain sehingga kini, maka tidak perlu diumumkan sekali lagi rakyat Britain disekat masuk.
“Kecuali melibatkan diplomat dan ekspatriat kita, itu pun bukan dari semua negara dibenarkan. Hanya membabitkan 23 buah negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai cadangan menyekat kemasukan warga UK, Afrika dan Hong Kong memandang varian baharu Covid-19 menular di negara tersebut.
Tambah Ismail Sabri, walaupun para pelajar luar negara juga dibenarkan masuk ke dalam negara untuk menyambung semula pengajian, mereka masih diwajibkan melalui saringan SOP ketat, kuarantin dan sebagainya.
“Tetapi pelajar dari UK tidak dibenarkan sama sekali ke dalam negara ini.
“Jika melibatkan rakyat negara kita, kita tak boleh halang sebab itu rakyat kita nak pulang dan bertindak mengikut perlembagaan negara tetapi mereka dilibatkan dalam SOP kuarantin ketat,” tegasnya.-MalaysiaGazette