Home Seni Hidup Hidang 35,000 Happy Meal untuk 1,000 rumah anak yatim

Hidang 35,000 Happy Meal untuk 1,000 rumah anak yatim

Pengarah Kanan Operasi McDonald’s Malaysia, Felina Lim, bersama anak-anak yatim Rumah Sayangan semasa sumangan hidangan Happy Meals dari McDonald’s Malaysia dan pelanggannya.Foto: McDonald's Malaysia

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia dan pelanggan-pelanggannya sedang terlibat dalam inisiatif murni menyampaikan 35,000 hidangan Happy Meal kepada lebih 1,000 rumah anak yatim di seluruh negara.

Ia sudah bermula sejak 16 Disember lalu dan berpanjangan sehingga Januari 2021 ini dan akan disumbangkan kepada kanak-kanak di rumah anak yatim yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Kami menganjurkan program sumbangan Happy Meal di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara selama lebih sebulan bermula dari Oktober lalu dan diteruskan sehingga hari ini.

“Pelanggan-pelanggan kami telah menderma sejumlah 17,891 hidangan Happy Meal dan kami di McDonald’s Malaysia menyepadankan jumlah itu,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azmir, pihaknya turut merakamkan terima kasih kepada semua pelanggan yang menyertai program sumbangan Happy Meal bagi menyebarkan ‘kegembiraan‘ kepada kanak-kanak di seluruh negara.

Beliau berharap hidangan Happy Meal akan membawa kegembiraan dan keceriaan kepada kanak-kanak terlibat.

Azmir berkata, inisiatif terbaharu oleh McDonald’s Malaysia merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan syarikat yang diusahakan sepanjang tahun yang bertujuan mewujudkan impak positif dalam komuniti.

McDonald’s Malaysia menggalakkan kru restoran di lebih 300 restoran di seluruh negara untuk menjalankan sekurang-kurangnya dua aktiviti kemasyarakatan dalam sebulan.

“Daripada 1,200 aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan pada tahun 2015, McDonald’s Malaysia telah menjalankan lebih 7,000 aktiviti pada tahun ini.

“Sepanjang tahun ini, McDonald’s Malaysia telah menaja hampir 200,000 hidangan makanan untuk petugas barisan hadapan negara, termasuk pekerja hospital, polis dan tentera.

“Satu-satunya pengajaran tahun 2020 adalah, ia amat penting untuk kita bersatu padu sebagai sebuah negara dan komuniti,” katanya.- MalaysiaGazette