PARIS – Selepas hampir seminggu ‘mengunci mulut’, Paris Saint Germain (PSG) akhirnya mengesahkan pemecatan pengurus pasukannya, Thomas Tuchel secara rasmi pada hari ini.
PSG dalam kenyataan rasminya berkata, kontrak Tuchel bersama kelab gergasi Ligue 1 itu telah dibatalkan.
Presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi merakamkan penghargaan kepada Tuchel sambil menjelaskan kelab akan sentiasa mengingati sumbangan dan pencapaian yang dikongi bersama.
Perbincangan antara PSG dan Pochettiono sedang berlangsung sejak dua minggu lalu.
Tuchel, 47, mengambil alih jawatan pengurus PSG pada Jun 2018 dan menjulang dua gelaran Ligue 1, Piala Perancis dan Piala Liga Perancis.
Mereka juga mara ke aksi akhir Liga Juara-juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab musim lalu sebelum tewas 1-0 kepada juara Bundesliga Jerman, Bayern Munich.
PSG kini menduduki tangga ketiga dalam carta Ligue 1, satu mata di belakang pendahulu liga iaitu Lyon, sementara mereka juga mara ke pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah yang akan bertemu Barcelona.
Pochettino kini diuar-uarkan sebagai pengganti Tuchel apabila difahamkan para pemain pasukan dimaklumkan Pochettino akan menyertai kelab itu sebagai Pengurus baharu.
Bagaimanapun PSG masih tidak mahu mengesahkan berita itu yang menjadi topik hangat di seluruh benua Eropah dan Asia ketika ini.
Pochettino, 48, selaku bekas pengurus kelab Inggeris, Tottenham Hotspur pernah membawa kelab itu berentap pada perlawanan akhir Liga Juara Eropah dua musim lalu sebelum kalah kepada Liverpool.
Malah Pochettino juga pernah beraksi untuk PSG antara tahun 2001 hingga tahun 2003.- MalaysiaGazette