PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) hari ini menerima sumbangan dari badan korporat sebanyak RM250,000.
Sumbangan ini telah disumbangkan oleh Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC) sebanyak RM100,000 dan RM150,000 melalui zakat Pharmaniaga hari ini bagi membantu golongan memerlukan ketika ini.
Sumbangan itu yang diterima oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Rina Mohd Harun, melahirkan penghargaan kepada mereka yang tampil membantu terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan krisis.
Kata Rina, sumbangan RMHC itu akan disalurkan kepada 50 buah rumah anak yatim yang sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Manakala sumbangan Pharmaniaga pula akan disalurkan kepada golongan asnaf untuk membantu meringankan beban tanggungan mereka.
“Banyak yang sedang berlaku pada hari ini jika anda lihat di kementerian kita hari ini, kita telah terima sumbangan dari badan korporat yang kita dengan segera akan salur kepada pihak berwajib.
“Sebentar lagi, kita akan sampaikan sebanyak 200 bakul makanan serta sumbangan wang tunai kepada 100 ahli-ahli Persatuan Kebajikan Veteran Malaysia (PKAVM).
“Sumbangan ini kita berikan kepada yang terkesan teruk dengan keadaan pandemik Covid-19, prinsip kita mudah sahaja tidak ada sesiapapun yang sepatutnya ketinggalan dalam menikmati kemudahan disediakan kerajaan,” katanya hari ini.
Kata Rina, pihaknya berharap lebih banyak badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan tampil menyampaikan sumbangan membantu golongan memerlukan.
“Biarlah kita saling bantu membantu lagi-lagi ketika masa sukar ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette