Home Sukan ABK20: Shahrel Fikri jadi pilihan

ABK20: Shahrel Fikri jadi pilihan

Pemain Malaysia, Shahrel Fikri meraikan jaringan pada perlawanan aski pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 diantara pasukan Timor Leste menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Penyerang tempatan, Shahrel Fikri tidak menganggap laluannya mudah untuk merangkul trofi Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual meskipun dilabel sebagai calon pilihan kali ini.

Pemain yang beraksi bersama Perak pada musim ini menjadi sebutan untuk memenangi kategori itu selepas muncul penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol secara keseluruhan dalam CIMB Liga Super 2020.

Namun, Shahrel menyifatkan ada tiga calon yang sememangnya turut layak untuk meraih trofi tersebut iaitu pemenang Kasut Emas, Ifedayo Omosuyi (Selangor), Ramadhan Saifullah Usman (JDT) dan Diogo Luis Santo (JDT).

Bagi pemain yang bakal beraksi bersama Selangor musim depan itu, dia sememangnya mengidamkan untuk memenangi kategori tersebut buat kali kedua selepas kali terakhir dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik pada tahun 2017 ketika mewakili PKNP FC dalam saingan Liga Premier.

“Kali terakhir saya menang pada tahun 2017 dan ketika itu saya berjaya meledak 20 gol bersama PKNP FC, jadi tahun ini perasaan itu agak berbeza kerana saya tercalon pada waktu saya bersaing dalam CIMB Liga Super dan semestinya ia akan menjadi persaingan cukup sengit.

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri untuk meletakkan mereka sebagai pemenang, tetapi bagi saya, Diogo, Ramadhan atau Omosuyi mungkin akan cipta kejutan.

“Semestinya saya mengimpikan trofi itu kerana tahun lepas saya tidak tercalon, dan kali terakhir menang pun pada 2017, jadi sekarang apabila dah tercalon, saya sangat gembira dan berharap yang betul-betul layak akan menang”, katanya.

Calon-calon lain yang turut berada dalam kategori Penyerang Terbaik adalah Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Engku Nur Shahir Engku Yacob (Terengganu FC II), Fernando Rodriguez (JDT II), Francis Kone (Kuala Lumpur), dan Tchetche Kipree (Kedah).

Sementara itu, pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt mengakui gembira apabila tercalon bagi kategori Jurulatih Terbaik apatah lagi ini adalah kali pertama beliau mengendalikan skuad Liga Malaysia.

Bekas jurulatih skuad Bawah 22 Tahun Negara itu tidak menolak ia satu pengalaman baharu membimbing pemain-pemain muda dalam skuad UiTM FC untuk menduduki tangga keenam CIMB Liga Super 2020 dan sudah pasti gelaran selaku Jurulatih Terbaik itu menjadi impiannya meskipun sedar bakal bersaing dengan barisan jurulatih lain yang lebih berpengalaman.

“Satu penghargaan untuk saya sebab ini adalah kali pertama saya terlibat dalam Liga Malaysia, dan sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan sesebuah pasukan itu, apatah lagi beraksi dalam saingan Liga Super.

“Saya tetap bersyukur apabila tercalon dan sokongan-sokongan yang diterima daripada penyokong juga amat saya hargai, cuma sudah tentu untuk menjadi pemenang bukan mudah kerana semua jurulatih berjaya membuktikan kemampuan masing-masing membawa pasukan mereka harungi Liga Malaysia musim ini,” jelasnya.

Sembilan lagi calon yang bersaing merebut gelaran Jurulatih Terbaik adalah Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur), Manzoor Azwira (Pulau Pinang), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (Johor Darul Ta’zim), Mehmet Durakovic (Perak) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media. – MalaysiaGazette