KUALA LUMPUR – Kelab Thailand, BG Pathum United memberikan kontrak lanjutan kepada pemain pertahanan skuad kebangsaan Singapura, Irfan Fandi bagi menghadapi separuh masa kedua saingan Thai League 1 tahun depan.
Perkara ini diumumkan kelab itu menerusi laman media sosial rasmi apabila Irfan menandatangani kontrak jangka masa panjang, namun BG tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kontrak baharu tersebut.
“BG Pathum mempunyai sistem pengurusan yang baik di mana mereka menjaga pemain dengan baik dan sebab itu saya setuju untuk menandatangani kontrak jangka masa panjang. Saya sudah sedia untuk berjuang bersama kelab hebat ini,” kata Irfan.
Irfan yang berusia 23 tahun mula beraksi bersama BG Pathum pada musim lalu.
Sebelum ini beliau beraksi pada saingan Singapore Premier League (SPL) bersama Home United.
Sejak itu, Irfan menjadi pilihan untuk diturunkan di benteng pertahanan bersama pemain import dari Brazil, Victor Cardozo dan seterusnya membentuk trio gandingan bersama seorang lagi pemain import dari Venezuela, Andres Tunez yang ditandatangani dari Buriram United pada awal musim ini. – MalaysiaGazette