Home Pendapat Penyelesaian isu integriti dalam kalangan penjawat awam, pemimpin negara

Penyelesaian isu integriti dalam kalangan penjawat awam, pemimpin negara

Gambar hiasan

PADA  tahun ‘Wawasan 2020’ ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan beberapa siri pendedahan isu integriti berkaitan dengan penyelewengan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam dan pemimpin negara. Ia bagaikan barah yang sudah lama terpendam tapi kini membusuk sehingga menusuk ke  setiap deria bau dalam lapisan masyarakat. Ya, benar ianya bukanlah salah kerajaan sekarang walaupun kesannya lebih jelas dan ketara timbul sejak akhir-akhir ini.

Semua masyarakat tahu apa yang sedang berlaku dalam organisasi penguatkuasaan di Malaysia. Ia menggambarkan yang seluruh sistem pentadbiran sekarang adalah pincang dan tidak mampu untuk menjulang kembali peradaban di Tanah Melayu. Namun demikian, tidak dinafikan masih ada yang jujur dalam menjalankan amanah negara.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk terus membina watan yang berdaulat dan kembali menjulang semula peradaban orang Melayu seperti mana semasa zaman kegemilangan di tampuk dunia lebih 500 tahun yang lampau, ini adalah perubahan yang mesti dilakukan di peringkat akar umbi bagi membanteras isu integriti.

Pertama, rakyat Malaysia perlu sedar akan pentingnya untuk memilih pemimpin yang berwibawa dan tidak mementingkan periuk nasi mereka semata-mata.

Berhentilah dari menyokong pihak yang taksub dengan politik kepartian dan hanya mementingkan status untuk mengekalkan kuasa mereka sahaja.

Kedua, sebagai rakyat Malaysia, masih ramai lagi yang berwibawa dan mampu mentadbir negara tetapi lebih suka untuk hidup sebagai pemerhati dari luar gelanggang politik.

Natijahnya, kebanyakan ahli politik yang turun berjuang adalah bukan atas dasar untuk kepentingan rakyat.

Stigma bahawa politik itu kotor akan kekal selama-selamanya selagi mana ahli yang berjuang di dalamnya adalah bukan orang yang selayaknya dan berintegriti. Usah menuding jari mengatakan politik itu kotor selagi mana setiap jiwa insan tiada kesedaran untuk mengubahnya.

Ketiga, ini adalah aspek perubahan paling penting di mana dengan aspek ini sahaja ianya dapat menjamin perubahan yang kekal dan berterusan dalam jiwa setiap insan yang beriman iaitu tarbiah.

Dengan Tarbiah sahaja kita dapat mendidik jiwa yang tunduk dan patuh kepada ajaran daripada Allah SWT. Biarpun perubahannya adalah perlahan, tetapi apa yang penting adalah kesannya itu dapat membawa perubahan yang menyeluruh kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Harus kita fahami bahawa tiada jalan yang singkat untuk kita kembali menebus kedaulatan dan menjulang peradaban.

Oleh:  Ir Mohd Nizam b Abd Rahman, Jurutera Profesional,
Ikatan Jurutera Muslim Malaysia ( i-Jurutera)