![MENTERI PENGANGKUTAN MENGADAKAN LAWATAN DI PKFZ](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/12/MGF09072020_PC-MENTERI-PENGANGKUTAN_05-640x427.jpg)
KUALA LUMPUR – China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-11 berturut-turut pada 2019 dengan nilai dagangan RM316.6 bilion seperti yang dilaporkan dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR).
Laporan itu memberikan informasi yang mengupas senario berkaitan perdagangan Malaysia dan hubungkaitnya dengan indikator statistik yang lain di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
MTSR edisi kedua menfokuskan prestasi perdagangan dua hala Malaysia dengan rakan dagang terbesarnya, China.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Ser Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan ini mensintesis prestasi perdagangan barangan seperti eksport dan import utama dan komposisi perdagangan, kesan pandemik Covid-19 terhadap perdagangan Malaysia-China, pelaburan langsung asing antara kedua-dua negara dan prestasi sektor pembuatan dan data lain yang berkaitan.
Pada tahun 1990 China berada di kedudukan ke-sebelas sebagai rakan dagang Malaysia dengan jumlah dagangan RM3.2 bilion, yang mana eksport bernilai RM1.7 bilion dan import RM1.5 bilion.
China melonjak dari tempat kelapan pada tahun 2000 ke tempat keempat pada 2001, di belakang Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat dengan jumlah dagangan RM29.2 bilion dan menyumbang 4.7 peratus kepada jumlah dagangan Malaysia.
”China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia pada 2009 dan terus kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-11 berturut-turut, dengan nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan China mencapai RM316.6 bilion pada tahun 2019 dan
merupakan 17.2 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia
”Komposisi perdagangan di antara Malaysia dan China bagi tempoh 1990-2019, telah mengalami perubahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Eksport utama Malaysia ke China pada 1990 adalah minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran manakala import adalah Barang-barang keluaran kilang.
Lanskap ini telah berubah di mana pada 2019, Jentera dan kelengkapan pengangkutan merupakan penyumbang terbesar eksport dan import.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia menerima pelaburan dari China bernilai RM0.6 bilion pada 2018 dan RM0.5 bilion pada 2019.
Manakala, aliran pelaburan Malaysia ke China pada 2019 direkodkan lebih tinggi dengan nilai RM0.54 bilion berbanding RM0.5 bilion pada 2018.
Malaysia perlu meningkatkan serta memperkemaskan polisi pelaburan asing untuk memudahkan jaringan perniagaan dan pakatan strategik antara syarikat Malaysia, dengan syarikat China dan perusahaan milik negara.
”Penularan wabak Covid-19 mempengaruhi paradigma sosial dan ekonomi kesan daripada langkah-langkah mitigasi untuk mengawal penyebaran virus.
”Menariknya, wabak ini telah meningkatkan permintaan bekalan perubatan oleh kedua-dua negara yang menyumbang kepada peningkatan eksport dan import produk terpilih. Sebagai contoh, eksport sarung tangan getah telah bertumbuh ketara 123.3 peratus bagi 10 bulan pertama tahun 2020 dan import pelitup melonjak 862.7 peratus,” ujarnya.
Malaysia juga telah menandatangani Kerjasama Komprehensif Kerjasama Serantau (RCEP) dengan 14 negara pada 15 November 2020, yang merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia.
”Oleh itu, Malaysia harus mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan lagi perdagangan dua hala antara
Malaysia dan China yang kedua-duanya adalah anggota RCEP,” kata Mohd Uzir. – MalaysiaGazette