KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,525 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini yang merupakan rekod baharu kes harian tertinggi manakala 1,481 kes sembuh.
Berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat kepada 113,010 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian positif, sebanyak 2,512 kes tempatan manakala 13 sahaja import.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes (47.7 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 995 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 299 kes (11.8 peratus) dan Melaka sebanyak 239 kes (9.5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 304 kes (12.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.
Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), Kluster Pagar Siput (8 kes), Kluster Tembok Mempaga (5 kes), Kluster Pagar Bentong (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Tembok (1 kes), Kluster Kolam Air (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes), ujarnya.
Selain lapan kematian, terdapat 131 kes dirawat di Unit rawatan Rapi (ICU). – MalaysiaGazette