Home Nasional Isu kartel, kembalikan keyakinan umat Islam melalui RCI – Nadzim

Isu kartel, kembalikan keyakinan umat Islam melalui RCI – Nadzim

Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik penubuhan badan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) atau Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi merungkai masalah kartel penyeludupan daging import haram di negara ini.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan menegaskan, keperluan kepada RCI sangat mendesak ketika ini bagi mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap bekalan daging import yang berada dalam pasaran.

“RCI memang perlu ada sebab rakyat tak boleh terima dengan aktiviti penyeludupan daging haram ini. Dengan RCI kita boleh dapat satu keputusan dan jawapan sebenar, kalau tidak macam tiada apa-apa berlaku.

“Ada orang kata RCI ini sama tapi kita nak lebih yakin dan boleh buat sesuatu untuk bawa perubahan kepada isu kartel daging haram,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Villa Puteri Condominium hari ini.

Dalam pada itu, kata Nadzim, kesukaran pemantauan isu halal di negara ini kerana Malaysia masih tiada Akta Halal walaupun perkara itu pernah dibangkitkan badan bukan kerajaan itu kepada kerajaan pada tahun 2002.

“Kita sebuah negara Islam yang perlembagannya Islam di mana kita amalkan. Kalau kita ada pelbagai akta yang melibatkan pelbagai perkara, tahukah anda kita masih tiada Akta Halal sehingga ke hari ini.

“Akta Halal ini kita pernah desak kepada kerajaan lebih 14 tahun lalu. Kira perlu Akta Halal, kalau tidak takkan nak guna Akta Perihal Dagangan dan Akta Makanan,” soalnya.

Jelasnya, Akta Halal boleh membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menangani situasi pencabulan dan penyalahgunaan tanda halal yang berlaku hari ini.

“Kita perlu ada sesuatu yang membantu JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)  kalau kita nak jadi negara yang dihormati sebagai negara pelopor pensijilan halal.

“Kita mohon semua pihak tekan kerajaan untuk wujudkan Akta Halal, padahal kerajaan terdahulu banyak kali berjanji tapi tak tunai pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette