KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, Selangor dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.
Pertukaran nama jalan itu akan dilaksanakan pada kadar segera.
Sultan Selangor berkenan untuk mengabadikan nama tokoh tersohor tanahair itu pada jalan berkenaan bagi mengenang jasa-jasa dan bakti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid semasa hayatnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi Melayu.
Untuk itu, baginda juga telah berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda, sekali gus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan.
Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz. adalah bertepatan kerana ia adalah jalan pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti MAHSA.
Untuk rekod, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari tahun 1952-1961, sebelum dilantik pula ke jawatan profesor dan seterusnya Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (Kuala Lumpur) dari tahun 1962-1965.
Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer adalah jalan utama yang menghubungkan Petaling Jaya ke Kuala Lumpur. Ia dibina pada tahun 1960 dan merupakan jalan dua hala pertama di Malaysia.
Ia menghubungkan ke jalan-jalan utama lain seperti Lebuhraya Persekutuan, Jalan Prof. Khoo Kay Kim, Jalan Dato’ Abu Bakar 16/1 dan Jalan Harapan. – MalaysiaGazette