KUALA LUMPUR – Negara memerlukan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia yang menjadi penternak moden agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Juftri Joha berkata, Kementerian Belia dan Sukan khususnya bahagian hal ehwal ekonomi perlu menganjurkan pelbagai kursus yang boleh menggalakkan golongan belia yang berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan moden.
“Di bawah jawatankuasa pertanian MBM memang di antara perhatian kita adalah bagaimana kita hendak belia-belia kita menjadi petani-petani moden termasuklah menggalakkan mereka menjadi penternak-penternak kambing, lembu dan sebagainya.
“Sebab itu antara agenda 2021 kita adalah menjayakan agenda kedaulatan makanan satu sebab hendak kurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan bahan makanan dari luar khususnya makanan asas seperti beras, sayur-sayuran dan daging kerana sekarang tercetus keraguan kehalalan daging-daging import.
“Banyakkan lagi kursus-kursus dengan kerjasama Kementerian Belia khususnya bahagian hal ehwal ekonomi untuk kita lahirkan ramai lagi penternak-penternak kambing, lembu,” katanya ketika sidang media di Wisma MBM hari ini.
Juftri berkata demikian ditanya tentang pandangannya terhadap isu daging yang diimport dengan label halal palsu ke dalam negara baru-baru ini.
Menurutnya, sekiranya kebergantungan negara terhadap daging import dapat dikurangkan dalam masa yang sama menurut Juftri tidak akan berlakunya keraguan terhadap daging tempatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MBM pada tahun depan akan melaksanakan program penternakan arnab sebagai salah satu cara untuk menarik golongan belia dalam bidang itu.
“MBM telah berjaya mengumpulkan 26 perterrnakan arnab dan pada akan tahun depan akan dimulakan sekoran tahun ini tidak tertunda kerana kos dan masalah teknikal,” ujarnya.-MalaysiaGazette