KUALA LUMPUR – Kejayaan memenangi trofi penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20), membakar semangat penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi untuk memburu kejayaan lebih gemilang bersama pasukan Selangor, pada saingan Liga Malaysia 2021.
Bekas penyerang Perak itu mengakui terkejut dengan pemilihan untuk dirinya menerima anugerah berkenaan, setelah bergelut dengan prestasi hambar pada musim lalu, selain sukar untuk mendapatkan minit permainan di bawah jurulatih Mehmet Durakovic.
“Memang saya tidak menyangka trofi ini akan menjadi milik saya, kerana kalau kita tengok ada tujuh calon pemain import yang sememangnya cukup berkualiti dan bukan mudah untuk ditandingi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
“Namun, saya bersyukur kerana usaha saya untuk menampilkan prestasi terbaik atas padang berbaloi, dan semestinya anugerah yang diterima ini menjadi penghormatan kepada saya untuk melakukan lebih baik pada masa hadapan,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang mesra dengan panggilan Eki.
Kejayaan dipilih sebagai anugerah penyerang terbaik itu merupakan kejayaan kali kedua buat pemain kelahiran Tawau, Sabah itu, yang pernah mengungguli anugerah sama sewaktu mewakili PKNP FC pada 2017.
Selain gelaran penyerang terbaik, Muhammad Shahrel Fikri turut membawa pulang trofi penjaring terbanyak Liga Super (pemain tempatan) menerusi ledakan 10 gol pada ABK20 yang majlisnya diadakan secara maya semalam, susulan penularan pandemik Covid-19.
Berkongsi kegembiraan sama adalah pemain pertahanan tengah kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang dinobatkan selaku pemain pertahanan terbaik buat kali kelima, selepas memenangi anugerah sama empat kali sebelum ini iaitu pada 2009, 2010, 2012 dan 2015.
Menurut pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, beliau agak terkejut dengan pemilihan namanya selaku pemenang, kerana berpandangan terdapat calon lain yang lebih layak untuk membawa pulang trofi pemain pertahanan terbaik kali ini.
“Apa-apa pun, saya percaya kepada rezeki dan ternyata tahun ini menjadi rezeki saya selepas kali terakhir menang pada tahun 2015.
“Insya-Allah selagi saya mampu bermain, saya akan sentiasa berikan yang terbaik, tetapi apa-apa pun, saya bermain bola bukanlah semata-mata untuk menang anugerah, tetapi lebih kepada kepuasan sendiri sebab bola sepak adalah karier saya,” kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.
ABK20 yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat MFL di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam menyaksikan pasukan JDT mendominasi keseluruhan anugerah dengan kemenangan lima kategori.
Penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias dipilih sebagai penjaga gol terbaik, disusuli pengendali JDT Benjamin Mora (jurulatih terbaik), pemain sayap kebangsaan Muhammad Safawi Rasid (pemain tengah terbaik), selain gelaran pasukan terbaik turut dimenangi skuad Harimau Selatan itu. – MalaysiaGazette